KJ Lawat Sekolah Tanjong Katong Ucap Takziah

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

KJ Lawat Sekolah Tanjong Katong Ucap Takziah
6/9/2015 1:11:42 AM

SINGAPURA – Gempa bumi di Sabah pada Jumaat lalu 'merobah segalanya' dan Malaysia perlu menyemak semula protokol keselamatan bagi mereka yang ingin mendaki puncak tertinggi Asia tenggara di Gunung Kinabalu.

Demikian komen Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Tanjong Katong pagi Selasa bagi menyampaikan takziah kepada keluarga murid yang terkorban.

Beliau yang juga mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia disambut Menteri Negara Kanan Pendidikan, Indranee Rajah; Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob serta ahli Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari.

Turut melakukan lawatan ke sekolah tersebut yang terletak di Seraya Road itu ialah isteri Khairy, Nori Abdullah selain dimeriahkan dengan kehadiran para pemain pasukan bola sepak Singapura untuk Sukan SEA kali ini .

Menurut Khairy lagi, insiden gempa terkuat dalam sejarah Malaysia itu adalah satu kejutan besar kepada negara tersebut sendiri yang merobah segalanya kerana sebelum ini, tidak pernah dilanda gempa bumi seteruk itu.

"Pusat gempa pula terletak begitu dekat dengan sebuah gunung. Saya yakin kita akan dapat menjaga keselamatan para pendaki dengan lebih baik pada masa akan datang apabila protokol baharu itu siap dilakar kelak," katanya.

Para pakar meteorologi dan geologi perlu menilai dan mengkaji semula kesan pergerakan seismik di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyemak kembali pelbagai aspek keselamatan, tegas Khairy.

Apabila ditanya mengenai usul pengehadan usia pendaki Gunung Kinabalu kepada 15 tahun ke atas, beliau berkata, "Kita perlu memahami apa yang sudah berlaku dan juga ancaman seismik yang kita berdepan sekarang.

"Selepas kita menjalankan semakan yang menyeluruh, barulah kita dapat melaksanakan protokol-protokol keselamatan, yang sama ada mungkin ataupun tidak, menetapkan had usia pendaki pada masa akan datang."

Beliau menambah, pihak berkuasa Malaysia turut berharap untuk memuktamadkan semua operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang hari ini selepas dihambat dengan pelbagai cuaca buruk sejak dua hari lalu.

Menyentuh tentang kritikan yang dilemparkan terhadap kelemahan operasi SAR itu, Khairy menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah "melakukan yang terbaik sejak dari awal lagi iaitu pada pagi hari kejadian"

"Kita sudah pastikan khidmat kecemasan dihulurkan sejak awal-awal lagi. Saya rasa helikopter SAR tidak dapat mendarat di kawasan gunung tersebut kerana faktor cuaca buruk selain ada puluhan lagi siri gempa susulan."

"Tentu sekali, ratusan malim gunung tempatan telah memainkan peranan penting di barisan hadapan kerana mereka sudah biasa dengan gunung itu dan wajar diberi pengiktirafan sebagai hero termasuk yang terbunuh.

"Bagi saya, khidmat pasukan SAR Malaysia telah bertindak dengan cukup baik dalam keadaan yang sungguh mencabar dan saya rasa usaha itu membuahkan hasil serta dapat dilihat oleh semua pihak," jelas beliau.

Khairy dan Nori berada di Singapura sejak minggu lalu bagi meninjau atlit-atlit Malaysia yang beraksi dalam pelbagai acara pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di republik itu. – Agensi/MYNEWSHUB/H.A.AMREE

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "KJ Lawat Sekolah Tanjong Katong Ucap Takziah"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info