SEPANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan mengeluarkan data lengkap yang dinamakan ‘Profil Kampung’ mengandungi maklumat berkenaan keperluan pembangunan lebih 22,000 kampung seluruh negara.


Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pangkalan data yang dijangka siap bulan depan antara lain memuatkan maklumat bagi setiap rumah termasuk jumlah penghuni serta laporan kesihatan mereka.


Beliau berkata pangkalan data itu akan menjadi pemangkin kepada kementerian dalam menyusun atur pembangunan luar bandar berteraskan kekurangan dan keperluan masyarakat di kampung berkenaan.


“Pangkalan data ini bukan hanya boleh mengatasi masalah pembaziran, malah lebih penting ia akan memastikan perkhidmatan sesuai dapat disediakan sekaligus mempercepat sebarang inisiatif yang akan dibangunkan kerajaan dalam sesuatu kawasan,” katanya.


Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Transformasi Luar Bandar di sini hari ini, Mohd Shafie berkata proses mengumpul data yang diselaraskan Unit Perancang Ekonomi itu membabitkan semua agensi dan jabatan di bawah kementerian dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.


Beliau berkata sebagai permulaan. Profil Kampung hanya menumpukan kepada penyediaan maklumat berkaitan keperluan asas yang menjadi keutamaan di sesebuah kampung, sebelum dikemas kini dengan memasukkan maklumat berkaitan jumlah pesakit dan jenis penyakit yang dihidapi sesebuah keluarga.


Mohd Shafie berkata kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dibuat bagi memastikan keperluan menyediakan klinik atau hospital dapat dirancang dengan teliti bagi mengelak berlakunya penyediaan ubat, doktor dan pakar yang tidak bertepatan dengan keperluan masyarakat setempat.


Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat turut memutuskan beberapa ketetapan dalam mentransformasi luar bandar, antaranya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) projek pembangunan luar bandar perlu diperketat supaya setiap perancangan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.


Mohd Shafie berkata untuk itu, beberapa perkara perlu diberi keutamaan dalam merancang pembangunan, seperti membuat jangkaan awal kemungkinan halangan yang bakal ditempuhi seperti isu hak milik tanah atau laluan projek perlu melalui kawasan milik persendirian.


“Sebagai penyelaras pembangunan luar bandar, adalah penting bagi kita di peringkat kementerian mengetahui apa sebenarnya kemungkinan-kemungkinan halangan yang bakal ditempuhi dalam menjamin sesuatu inisiatif dapat dilaksana secara berkesan,” katanya. – BERNAMA