KUALA TERENGGANU – Pengusaha kebun tembikai di daerah Setiu dekat sini, mengeluh ekoran kejatuhan harga dipercayai akibat lambakan buah itu dari luar Terengganu.


Pengurus Syarikat Cegah Padu Enterprise Shaifull Azli Muhamed berkata harga tembikai jatuh sehingga 50 sen sekilogram (sekg) pada masa kini berbanding RM1.20 sekg pada awal tahun.


“Harga buah tembikai di ladang sekarang ini benar-benar merunsingkan kami,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Beliau yang menguruskan syarikat berasaskan pertanian itu berkata kemerosotan harga itu mungkin berlaku ekoran banyak buah tembikai daripada luar terutamanya dari Kelantan memasuki Terengganu.


Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib memberikan sedikit perhatian terhadap perkara itu agar penanam tembikai tidak gulung tikar.


Shaifull Azly berkata, apa yang menyedihkan ialah buah tembikai tidak dapat dihantar ke Kuala Lumpur kerana kos penghantaran lebih tinggi daripada harga ladang.


“Mahu tidak mahu, kita terpaksa edar di pasaran tempatan atau kepada peraih,” katanya.


Menyentuh mengenai cuaca panas, beliau yang turut mengusahakan tanaman seperti terung dan cili merah berkata keadaan cuaca setakat ini tidak menjejaskan tanaman kerana bekalan air mencukupi. – BERNAMA