Raja Permaisuri Agong Raikan 310 Anak Yatim Di Istana Negara

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Raja Permaisuri Agong Raikan 310 Anak Yatim Di Istana Negara
6/8/2015 1:58:45 AM

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan meraikan 310 anak yatim bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini.

Kanak-kanak dari Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) danJabatan Kebajikan Masyarakat itu diraikan dalam majlis santapan mesra yang diserikan dengan persembahan tarian, nyanyian dan gamelan.

Pada majlis itu, baginda yang juga Penaung YAYSH, berkenan menyampaikan sumbangan berbentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM100, sepasang baju raya, baucar buku dan cenderahati daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua anak yatim.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada 10 anak yatim yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Seorang penerima, Nurhaliza Saupi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Takis, Papar, Sabah, memberitahu Bernama dia merasa terharu diraikan dan dapat melihat Raja Permaisuri Agong secara lebih dekat.

"Sangat teruja dan gembira dapat masuk Istana Negara, rasa syukur kerana diraikan dengan penuh meriah dan dapat pula sumbangan daripada Raja Permaisuri Agong," katanya yang akan memanfaatkan pemberian wang itu dengan sebaiknya.

Tuanku Hajah Haminah kemudian berkenan bersalaman dengan anak yatim serta para hadirin sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Antara tetamu yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, isteri Ketua Setiausaha Negara Puan Sri Rohani Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah YAYSH Datuk Rosli Awang.

Selepas majlis itu, kesemua anak yatim berkenaan dibawa melawat sekitar kawasan Istana Negara seperti di Balairong Seri dan Dewan Santapan. – BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Raja Permaisuri Agong Raikan 310 Anak Yatim Di Istana Negara"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info