Projek PPA1M Kinarut Dilancarkan Hari Ini

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Projek PPA1M Kinarut Dilancarkan Hari Ini
6/27/2015 2:36:57 AM

KOTA KINABALU – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini melancarkan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Puncak Gloxinia Kinarut Selatan membabitkan pembinaan 1,296 unit kediaman.

Beliau berkata objektif projek itu adalah bagi menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada penjawat awam dengan kumpulan sasar yang tergolong dalam kategori pendapatan bulanan di bawah RM10,000.

"Projek ini untuk membantu rakyat khususnya penjawat awam muda dan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah berkualiti di lokasi strategik dengan harga berpatutan dan lebih rendah daripada harga pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran projek PPA1M dan majlis menandatangani perjanjian antara PR1MA, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta syarikat Visa Land Sdn Bhd, di sini.

Sementara itu, Ali ketika ditemui pemberita selepas pelancaran projek itu berkata projek tersebut dibangunkan di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar dengan keluasan 6.68 hektar dan pemaju projek itu adalah syarikat Landmark Property Sdn Bhd.

"Kediaman PPA1M yang berkeluasan 1,000 kaki persegi dijual kepada penjawat awam dengan harga bermula RM227,000 seunit dan projek dijangka siap dalam tempoh 36 bulan," katanya.

Ali berkata setakat ini, 648 unit kediaman melibatkan tiga daripada enam blok apartmen yang bakal dibina di Kinarut itu sudahpun ditempah walaupun baru dibuka untuk penjualan.

Beliau berkata penjawat awam yang membeli rumah itu tidak dibenarkan untuk menjual rumah berkenaan dalam tempoh 10 tahun bertujuan menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam.

"Kalau mereka jual sebelum tempoh, mereka perlu bayar balik kompenan subsidi dan ada penalti akan dikenakan sekiranya dijual, tapi itu kita akan buat perkiraan khas dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata beberapa tapak untuk pembangunan PPA1M fasa seterusnya di Sabah telah dikenal pasti di Tawau, Tuaran dan Sandakan.

Sebelum ini, beliau dipetik sebagai berkata sejumlah 5,000 unit rumah di bawah projek PPA1M akan dibina di Sabah pada tahun ini khusus bagi memenuhi keperluan perumahan untuk penjawat awam di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan turut menyasarkan pembangunan 20,000 unit rumah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh Sabah.

Katanya projek PR1MA di Kinarut merupakan satu dari beberapa kawasan yang dikenal pasti kesesuaiannya untuk pembangunan perumahan itu di serata Sabah termasuk di Tawau, Sandakan, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Papar dan Beaufort.

"Di Kinarut, sebanyak 502 unit apartmen akan dibina daripada 8,683 unit rumah pelbagai jenis yang telahpun diluluskan untuk penduduk Sabah," katanya.

Ali berkata bagi menjayakan projek PPA1M mahupun PR1MA, kerajaan negeri diminta memainkan peranan sewajarnya dengan memberi perhatian kepada aspek kesesuaian lokasi projek, perancangan kerajaan negeri bagi kawasan yang akan dimajukan serta aspek permintaan atau prospek pembeli dalam kalangan penjawat awam. – BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Projek PPA1M Kinarut Dilancarkan Hari Ini"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info