Fakta orientalis cemar imej orang Timur

 

 

Rilekslah
Malaysian Social Media Trendsetter

Fakta orientalis cemar imej orang Timur
6/9/2015 6:07:42 PM

Fakta orientalis cemar imej orang Timur

SEBAHAGIAN daripada peserta persidangan antarabangsa Menilai Semula Orientalisme: Melangkaui Politik Timur dan Barat di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Foto Nik Hariff Hassan

ORIENTALISME adalah istilah digunakan untuk merujuk kepada cara Barat melihat, membayangkan, membesar-besarkan dan memutarbelitkan perbezaan dengan Timur.

Selalunya, pandangan itu membawa konotasi negatif terhadap masyarakat Timur.

Disebabkan itu, banyak pandangan atau andaian dibuat khususnya terhadap masyarakat Timur adalah stereotaip daripada fakta dikemukakan oleh orientalis yang ada kalanya bukan saja tidak tepat, malah tidak relevan dengan hakikat semasa.

Situasi itu dilihat tidak adil kepada masyarakat di Timur. Malangnya pada masa sama, tiada usaha atau gerakan memperbetulkan supaya dapat memberi gambaran sebenar yang menyanggah stereotaip yang sudah berakar umbi sejak lama.

Gerakan bangkit kesedaran

Justeru, Profesor Madya Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Prof Dr Syed Farid Alatas, berpandangan perlu ada gerakan intelektual yang memberi perhatian kepada usaha membangkitkan kesedaran mengenai pentingnya untuk menghasilkan pemikiran berasaskan kepada tradisi Timur dan Islam.

Katanya, sarjana tempatan perlu menjadikan orientalisme sebagai topik yang diangkat dalam perbincangan supaya kajian mengenai adat, budaya atau cara hidup masyarakat timur tidak hanya bersandarkan kepada persepsi Barat yang pernah menjajah negara di timur.

"Kita perlu membanyakkan wacana atau dialog kerana kebanyakan sarjana memahami masalah ini tetapi tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas dan mencari alternatif kepada ilmu pengetahuan yang tidak bersandarkan kepada stereotaip Barat.

"Belum ada gerakan intelektual dibuat termasuk di Malaysia sedangkan kita mempunyai ramai sarjana dalam bidang sosiologi di Asia Tenggara ini," katanya pada persidangan antarabangsa bertajuk Menilai Semula Orientalisme: Melangkaui Politik Timur dan Barat, baru-baru ini.

Persidangan anjuran 7 institusi

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Kebudayaan Universiti Nottingham Malaysia, Islamic Renaissance Front (IRF), Universiti Malaya (UM), Universiti Nasional Singapura (NUS), Yayasan Sains dan Kebudayaan Istanbul,

Institut Penyelidikan dan Kebudayaan Ferdowsi serta Institut Kajian Antarabangsa Malaysia (IKMAS UKM).

Objektif persidangan adalah untuk membincangkan isu berkaitan orientalisme, memaha mi permasalahan, memberi tindak balas dan memikirkan langkah perlu dalam usaha mencari pendekatan melihat orientalisme yang berbeza dari sudut pandang Barat.

Ketika menyampaikan ceramah bertajuk Konsep imperialisme dan kebergantungan akademik: Bolehkah kita berhenti bercakap mengenai mereka?, Syed Farid mempersoalkan hakikat kita mempunyai banyak hasil kesusasteraan tetapi sukar untuk menemui konsep yang datang dari dunia Islam sendiri.

Katanya, pengajaran di universiti atau penyelidikan dilakukan masih mengambil konsep yang diperkenalkan ilmu Barat dan agak aneh apabila tidak ada inisiatif untuk menjadikan ilmu yang dibangunkan sarjana tempatan atau Islam sebagai rujukan.

"Selepas 600 tahun tidak ada yang melakukan kajian mengenai ilmu sosiologi mengambil pendekatan diketengahkan oleh Ibnu Khaldun.

"Malah hingga kini kita tidak ada Pusat Pengajian Pemikiran Ibnu Khaldun seperti mana mereka memiliki Pusat Pengajian Pemikiran Marx dan Weber, sedangkan Ibnu Khaldun diiktiraf sebagai pengasas ilmu sosiologi tetapi kita tidak nampak konsep beliau dalam buku sosiologi.

"Kita tidak mengambil serius warisan yang dekat dengan kita. Oleh itu, sudah tiba masanya kita mengambil pandangan mereka," katanya.

Katanya, negara Amerika Latin dan Asia Selatan seperti India menubuhkan pusat pengajian pemikiran mereka sebagai alternatif kepada pemikiran orientalis namun Asia Tenggara tidak mengambil langkah sama.

Ironinya, pengkritik orientalisme yang pertama datangnya dari Asia Tenggara seperti Jose Rizal yang membahaskan mengenai istilah malas yang didefinisikan beliau sebagai kurangnya rasa cinta untuk bekerja (little love for work) ditujukan kepada masyarakat Filipina adalah berpunca daripada penjajahan Sepanyol.

Ibnu Khaldun (kiri) dan Jose Rizal.

Perbetul laporan tak betul

Justeru, beliau menghasilkan karya yang memberi penjelasan untuk memperbetulkan apa yang dilihatnya sebagai laporan tidak benar dalam kebanyakan hasil penulisan orientalis Sepanyol mengenai masyarakat Filipina.

Istilah sama turut dibahaskan panjang lebar oleh Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas dalam buku edisi bahasa Inggeris The Myth of Lazy Native yang diterbitkan pada tahun 1977 dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Malaysia menggunakan tajuk Mitos Peribumi Malas.

Syed Hussein merangkumkan bahawa malas yang didakwa terhadap masyarakat peribumi tidak sepatutnya dibuat secara umum hingga mengundang rasa skeptikal dan stereotaip yang menjadi penghalang hubungan harmoni antara kaum sehingga kini.

Hakikatnya, malas yang dilemparkan kepada masyarakat peribumi adalah kerana penolakan untuk bekerja sebagai buruh di ladang hingga Barat terpaksa mengimport imigran Cina dari Tanah Besar dan imigran India untuk menjadi buruh kasar Barat.

Barat punca persepsi negatif

Penulisan hasil daripada pandangan sendiri tanpa melakukan kajian lapangan itu berjaya mewujudkan stereotaip negatif hingga menimbulkan tanggapan orang Melayu malas, orang Cina gila duit dan orang India kaki botol (pandangan dikongsi peserta konvensyen).

Malangnya, andaian itu seakan diterima masyarakat apabila masih digunakan hingga kini dan inilah yang dikatakan 'anehnya' tiada usaha untuk memperbetulkan stigma itu.

Merujuk kembali pandangan Syed Farid supaya orientalisme diangkat sebagai topik perbincangan ilmiah adalah bagi mewujudkan pertembungan antara ilmu Barat dan ilmu Timur dalam memahami sejarah, adat serta budaya masyarakat Timur yang tidak berasaskan kepada stereotaip.

"Kita tidak ambil warisan kita secara serius sedangkan itu yang sepatutnya dilakukan sekarang iaitu mengambil idea pemikir terkenal seperti Jose Rizal, Ibnu Khaldun dan pemikir terkenal yang lain untuk menyumbang kepada pembelajaran sosiologi.

"Kita perlu ada alternatif. Bukan untuk menukar tetapi menggabungkan. Contohnya makaroni goreng diterima sebagai makanan kita walaupun asalnya ia adalah resipi Itali. Jadi kita ingin beri inspirasi kepada tenaga pengajar dan pelajar supaya ambil daripada ilmu kita dan tidak bergantung kepada ilmu orang saja.

"Hasilnya, kita tidak mahu ada lagi salah anggap terhadap Melayu dan Islam sebaliknya kita bangga dengan warisan kita. Saya positif usaha ini mampu dilaksanakan jika mendapat sokongan universiti, ahli akademik, pelajar serta pemerintah," katanya.

Comments

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Fakta orientalis cemar imej orang Timur"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info