Kerajaan perlu tambah peruntukan kepada polis – Lee


Kerajaan perlu tambah peruntukan kepada polis – Lee





Tan Sri Lee Lam Thye


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menambah peruntukan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ingin menyasarkan pengurangan indeks jenayah seperti mana yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.


Beliau menegaskan bahawa dengan peruntukan yang lebih, pihak polis boleh menambah kelengkapan aset dan bilangan anggota dalam menangani kegiatan jenayah dengan efisien.


“Ini adalah satu isu di mana kita harus ketengahkan bahawa perlunya peruntukan yang lebih untuk pihak polis. Kita mesti realistik, mereka perlu tenaga manusia yang mencukupi dan kelengkapan aset yang cukup dan canggih untuk jalankan tugas.


“Barulah orang ramai yakin dengan keselamatan negara dan sasaran kita dapat tercapai,” katanya hari ini.


Mengambil contoh kejadian penculikan terbaharu di wilayah pantai timur Sabah baru-baru ini, Lee berkata kejadian itu sudah pasti memberi impak kepada rakyat untuk mempersoalkan mutu keselamatan negara.


Katanya, susulan kejadian itu, ramai pihak menyalahkan mutu kerja anggota yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).


“Saya anggap pihak berkuasa kena mengkaji semula mengenai ESSCOM kerana soalnya telah timbul bahawa mereka mempunyai masalah kekurangan aset.


“Jika itu masalahnya, kerajaan kena peruntukan perbelanjaan lebih untuk beli aset dan percepatkan kelulusannya,” kata Lee.


Menurut laporan Bajet 2015 yang dibentangkan tahun lepas, sebanyak RM9.1 bilion telah diperuntukkan kepada pihak polis manakala RM660 juta diperuntukkan untuk perkukuh keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dan ESSCOM.


Kerajaan menyasarkan pengurangan indeks jenayah sebanyak lima peratus setahun dan meningkatkan persepsi rasa selamat kepada 60 peratus pada 2020 dalam RMK11.


Menurut rancangan lima tahun itu yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, sasaran berkenaan akan dicapai melalui omnipresence (kehadiran polis), Program Bandar Selamat dan program kesukarelawan.


Melalui omnipresence, laporan tersebut menyatakan ia akan dipertingkatkan dengan menempatkan semula lebih ramai anggota polis untuk melakukan tugas hakiki kepolisan, khususnya pencegahan jenayah.


– BERNAMA

0 Komentar untuk "Kerajaan perlu tambah peruntukan kepada polis – Lee"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info