PETALING JAYA – Sebanyak 8.4 juta anggota yang berdaftar di bawah lebih 11,000 koperasi bakal menikmati perkhidmatan talian telefon mudah alih untuk berhubung secara percuma sesama mereka.


Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata buat permulaan, sebanyak 10,000 kad SIM telah diedarkan sejak sebulan lepas.


“Disasarkan sehingga hujung tahun ini separuh ahli koperasi bakal menikmati talian telefon tersebut, ” katanya dalam sidang media selepas pelancaran kad SIM berkenaan dan kad keahlian MyAngkasa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di sini hari ini.


Abdul Fatah berkata perkhidmatan itu disediakan oleh syarikat telekomunikasi Clixster Mobile Sdn Bhd dan akan dikendalikan anak syarikat Angkasa iaitu MyAngkasa Holdings Sdn Bhd.


“Ini bermakna talian yang bakal digunakan akan memaparkan ‘MyAngkasa’ di telefon pengguna,” katanya sambil menambah pengguna selain ahli juga boleh mendapatkan kad SIM secara percuma di pejabat Angkasa.


Mengenai kad keahlian, ia berfungsi sebagai kad debit Visa yang memberi kemudahan untuk melakukan transaksi pembayaran di kedai terpilih atau secara atas talian.


“Untuk kegunaan dari segi kewangan, kad ini boleh diterima pakai di lebih 30 juta premis perniagaan di seluruh dunia,” kata Abdul Fatah. – BERNAMA