NYON (Switzerland) – Penyandang juara, Real Madrid diundi menentang musuh tetangga, Atletico Madrid pada pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang mengulangi aksi final, musim lepas.


Satu lagi wakil Sepanyol, Barcelona pula diundi menentang ‘muka biasa’ iaitu Paris Saint-Germain dengan gergasi Portugal, Porto bertemu Bayern Munich.


Juara Itali, Juventus pula diundi menentang satu lagi kelab Ligue 1, Monaco.


Musim lepas, Sergio Ramos menyamakan kedudukan buat Real bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan di Lisbon sebelum Real memenangi perlawanan dengan keputusan 4-1 sekali gus gelaran ke-10 Liga Juara-Juara Eropah.


Pengarah Hubungan Institusi Real yang juga bekas penyerang legenda kelab itu, Emilio Butragueno menyifatkan pertembungan itu cukup baik.


“Atletico adalah pasukan yang kompetitif dan kami sudah banyak kali bertemu musim ini dan mengenali satu sama lain dengan cukup baik,” katanya mengulas enam pertembungan yang sudah dilalui Real dan Atletico selepas final musim lepas dengan Real masih gagal mencatat kemenangan.


“Liga Juara-Juara Eropah adalah kejohanan yang berbeza. Kamu tidak pernah tahu adakah satu kelebihan bermain perlawanan kedua di laman sendiri. Kami perlu berada dalam keadaan terbaik kerana kami tahu kesukaran yang akan kami hadapi,” katanya.


Atletico yang juga juara Eropah ketika ini berada di tangga ketiga La Liga dengan Real tujuh mata di depan mereka di tangga kedua manakala Barcelona di puncak liga, dibezakan dengan satu mata.


“Bola sepak tidak memiliki memori. Ia mampu menjadi satu kesalahan besar untuk berfikir mengenai keputusan terkini yang kami miliki menentang Real Madrid,” kata Pengarah Atletico, Clemente Villaverde. – AFP