Norman KRU Percaya, Ada Pihak Mahu Jatuhkan Nama Zizan


Penerbit filem KRU Studios, Norman Abdul Halim mendakwa ada pihak yang cuba menjatuhkan Zizan Razak memandangkan sejak kebelakangan ini pelakon dan pelawak popular itu bertali arus dihimpit kontroversi dan isu hangat.

"Beberapa bulan ini dengan apa yang berlaku terhadap diri Zizan, saya rasa macam ada satu gerakan yang mahu jatuhkan dia.

"Tapi, saya tidak pasti siapa pihak tersebut yang nampaknya seperti kurang senang dengan Zizan," katanya yang berada di sisi Zizan sewaktu pihak media menemubual hero filem Cicakman 3 itu, pada malam tayangan perdana filem berkenaan di e@Curve, Damansara, malam tadi.

Menurutnya, dia berharap agar isu panas yang mengaitkan nama Zizan tidak terus diperbesarkan lagi.

Pada masa sama, Norman juga menyatakan dia berasa lucu apabila mendengar gosip mengenai Zizan dengan Naib Presiden GenNext Astro Putri Yasmin Megat Zaharuddin, didakwa menjalin hubungan cinta.

"Saya sudah lama mengenali Zizan. Saya sayang dengan bakat yang dia ada dan dia bukan saja boleh melawak tetapi boleh berlakon.

"Bagi saya, isu-isu yang timbul ini remeh dan tidak perlulah ianya digembar-gemburkan lagi.

"Sebenarnya, apabila saya dengar tentang gosip cinta dia dengan orang Astro, saya tertanya juga siapakah wanita itu.

"Namun, apabila saya diberitahu kononnya wanita yang dimaksudkan itu ialah Yasmin, saya lagilah tergelak," katanya.

Norman berkata, dia cukup memahami apabila Zizan bertindak berdiam dan menghilangkan diri seketika kerana satu ketika dulu dia juga pernah mengalami situasi sebegitu.

"Kalau ada pihak yang sentiasa saja mahu mencari salah dia, saya rasa sesiapa pun akan rasa tertekan apabila terpaksa berdepan dengan keadaan itu.

"Kadang-kadang kalau kita rasa kontroversi atau isu yang terpaksa kita lalui itu berat sangat, kita pun akan rasa tertekan dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa," katanya. - Malaysian Digest

0 Komentar untuk "Norman KRU Percaya, Ada Pihak Mahu Jatuhkan Nama Zizan"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info