DUN Kelantan lulus sebulat suara enakmen Hudud



KUALA LUMPUR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

Menurut laporan Bernama, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong  rang undang-undang itu.

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-Guchil) Mohamad Roslan Puteh.

Satu kerusi yang dimiliki PAS iaitu DUN Chempaka kosong berikutan kematian  penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Feb lepas.

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam yang mengandungi beberapa jenis kesalahan hudud termasuk:

1. Sariqah (mencuri)
2. Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)
3. Zina termasuk liwat
4. Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)
5. Syurb (minum arak atau memabukkan)
6. Irtidad (murtad)

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahaskan empat anggota dewan iaitu Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor) dan Datuk Husam Musa (PAS-Salor).

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Semalam, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

Beberapa pindaan dibuat pada kanun berkenaan iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri  yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia  ada.

Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh  kesalahan  iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak)  dan irtidad (murtad).

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan mencuri kali  pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua dipotong tangan kiri dan  kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15 tahun.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum bunuh jika  mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan kanan dan kaki kiri jika harta  sahaja diambil.

Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum arak pula,  sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali.

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam sehingga mati  manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan pejara setahun.

Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika enggan,  boleh dihukum bunuh.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember  tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan.

Speaker DUN Datuk Abdullah Ya'kub kemudiannya menangguhkan sidang DUN kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Astro Awani

0 Komentar untuk "DUN Kelantan lulus sebulat suara enakmen Hudud"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info