KTM Umum Naikkan Kadar Tambang Komuter Berkuatkuasa 1 Mei Ini.




KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) hari ini telah mengumumkan akan menaikkan tambang bagi perkhidmatan Komuter kendalian mereka berkuatkuasa 1 Mei ini.

Menurut kenyataan media dari KTM, kenaikan harga perkhidmatan Komuter tersebut meningkat sehingga RM7.10 bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.


Bagaimanapun bagi pemegang tiket tambah nilai akan diberikan diskaun sebanyak 20 peratus, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepada pemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.


Untuk warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah 12 tahun akan tetap menikmati diskaun 50 peratus berdasarkan tambang baru.


"Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan KTM Komuter telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari aspek ketepatan masa perjalanan dan tahap keselesaan penumpang sejak penggunaan tren baharu enam koc mulai tahun 2012.

"Penggunaan tren baharu enam koc yang sangat konsisten prestasinya telah melonjak ketepatan masa perkhidmatan KTM Komuter dari hanya 17 peratus pada 2011 kepada 97 peratus pada 2014," kata KTM.
 
Ia berkata pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003. - Siakapkeli.com.my

0 Komentar untuk "KTM Umum Naikkan Kadar Tambang Komuter Berkuatkuasa 1 Mei Ini."

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info