‘Tunggu!’ – PM Ulas Spekulasi Rombakan Kabinet

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

'Tunggu!' – PM Ulas Spekulasi Rombakan Kabinet
6/27/2015 4:22:47 AM

KUALA LUMPUR – Rupa-rupanya laporan eksklusif MYNEWSHUB pada 24 Jun lalu mengenai rombakan Kabinet yang dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri telah mencetuskan sensasi dalam kalangan peminat politik tanah air.

Ada yang digugurkan, ada dinaikkan pangkat daripada timbalan menteri menjadi menteri penuh, ada pula muka baharu, ada juga muka lama buat 'come back' dan macam-macam lagi sehingga ramai bagai tersentak dibuatnya.

Secara jujur, MYNEWSHUB bukan macam dalam filem Nujum Pak Belalang yang boleh ramal siapa itu dan siapa ini kerana itu hak prerogatif Perdana Menteri sendiri berdasarkan peruntukan undang-undang tubuh kerajaan.

Gambar hiasan

Ini bermakna dalam bahasa mudah, terpulanglah kepada kebijaksanaan dan perkiraan strategik Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih anggota pasukan pentadbirannya bagi membantu beliau menguruskan negara ini.

Juga spekulasi ada sebut rombakan selepas sambutan Hari Raya Puasa. Ia bukan bermaksud betul-betul tepat pada 2 Syawal 1436 Hijrah kerana mungkin juga Hari Raya Aidiladha, hujung tahun ini atau terus tahun depan.

Perlu diingat mandat kerajaan hanya akan berakhir sekitar Jun 2018 bagi membolehkan pembubaran Parlimen secara automatik seterusnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu genap tempoh sepenggal lima tahun.

Lucunya, laporan MYNEWSHUB itu dipandang serius pelbagai pihak berkepentingan termasuk beberapa portal propembangkang yang kena 'scoop' padahal selama ini konon sering mendakwa mereka sumber berita eksklusif.

Mungkin malu gagal menghidu berita 'gempar' itu, ada portal terbabit cuba menjadi Nujum Pak Belalang dengan mendakwa Perdana Menteri akan buang menteri itu dan ini kononnya tidak menepati 'selera' pembangkang.

Gambar hiasan

Maka dicananglah kononnya juga jika Najib terlebih 'berani' memecat menteri tersebut, BN akan menghadapi masalah mendapatkan undi rakyat pada PRU-14 kerana negeri berkenaan adalah 'deposit' selamat kepada BN.

Sebenarnya laporan portal propembangkang itu mudah dibaca sebagai sengaja mahu melaga-lagakan Perdana Menteri dengan pemimpin tertentu yang dikatakan amat popular sekali gus memberi tekanan kepada Najib.

Jika betul niat mereka ikhlas membantu Perdana Menteri memajukan negara menjelang 2020 apabila Malaysia mencapai status negara maju, sepatutnya cukuplah usah buat berita fitnah yang menghancurkan negara sendiri.

Memang betul ada menteri tertentu dilihat gagal mencapai kayu pengukur prestasi KPI, tetapi ini bukan bermakna mereka tiada apa-apa jasa langsung dan layak dihina macam jahat sangat konon telah 'merosakkan' negara kita.

Persepsi inilah yang cuba dieksploitasi portal propembangkang konon ada beberapa menteri dibuang itu bersedia melarikan diri ke luar negara untuk mengelak didakwa di mahkamah atas kes 'penyelewengan' duit rakyat.

Gambar hiasan

Begitulah dahsyatnya fitnah mereka walhal sejarah membuktikan belum pernah ada pemimpin kerajaan yang jika teruk sekali pun akan tergamak berbuat demikian malah mereka masih patriotik menetap lagi di bumi Malaysia

Sebaliknya apa yang berlaku, lihatlah ramai aktivis propembangkang yang kelam-kabut melarikan diri ke luar negara kononnya mereka akan 'diseksa' polis dan menerima layanan zalim jika diadili di mahkamah Malaysia.

Hakikatnya, berbalik kepada kisah rombakan Kabinet, Najib pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO membayangkan kemungkinan ada rombakan kabinet tidak lama lagi, cuma tarikhnya belum muktamad.

Pengumuman itu walaupun ringkas adalah sebagai menjawab beberapa menteri yang sebelum ini menafikan ada rombakan namun, beliau ketika ditanya mengenai spekulasi tentang rombakan itu, tidak menafikannya.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, parti terbesar dalam komponen BN sebaliknya lebih berdiplomasi memberi jawapan dan menggesa orang ramai bersabar meskipun ada teruja tidak sabar buat cerita itu dan ini.

Gambar hiasan

"Tunggulah," katanya dalam sidang akhbar serta membayangkan bahawa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel, yang status sebagai presiden MIC masih samar-samar, tiada banyak masa dalam kabinet.

"Kedudukan Palanivel sebagai menteri akan diputuskan tidak lama lagi," katanya sambil menambah bahawa buat masa ini, beliau mahu MIC menentukan masalah pucuk kepimpinan mereka sendiri tanpa campur tangan sesiapa.

Timbalan Presiden MIC, Dr. S. Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan pada Khamis mendakwa bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan Palanivel bukan lagi menjadi ahli MIC.

Sebelum ini, ada spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri mungkin menggugurkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Shafie Apdal, yang kritikal terhadap kemelut membabitkan 1MDB.

Ia susulan Najib telah pun memberi kata dua kepada jemaah menteri yang tidak bersetuju dengan cara beliau dalam menangani isu tersebut agar tampil meletakkan jawatan secara sukarela. – Mynewshub

Rakaman suasana majlis istiadat angkat sumpah Kabinet Malaysia di Istana Negara selepas Pilihan Raya Umum pada 2013. 

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "‘Tunggu!’ – PM Ulas Spekulasi Rombakan Kabinet"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info