Kematian Akibat Denggi Di Perak Meningkat Kepada 13 Kes

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Kematian Akibat Denggi Di Perak Meningkat Kepada 13 Kes
6/27/2015 4:21:18 AM

IPOH – Jumlah kematian akibat denggi di Perak meningkat kepada 13 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tujuh kes pada masa sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Pembangunan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata tujuh kematian dilaporkan di daerah Kinta, Manjung (dua), Hilir Perak (satu), Kuala Kangsar (satu), Kampar (satu) dan Kerian (satu).

Beliau berkata sehingga kini, jumlah kumulatif kes denggi di Perak meningkat 117.9 peratus iaitu 5,564 kes, berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak 2,554 kes.

"Kes denggi di Kinta sebanyak 4,092 kes, Manjung (330), Hilir Perak (197), Kuala Kangsar (247), Batang Padang (134), Larut Matang dan Selama (218), Kampar (187), Perak Tengah (35), Kerian (80) dan Hulu Perak (44)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Mah mengadakan lawatan bersama Jabatan Kesihatan Perak ke kawasan 'hotspot denggi tegar' di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua, Manjoi dan Taman Cempaka di sini.

Beliau berkata tempoh wabak denggi paling lama di negara ini adalah di dua kawasan di daerah Kinta itu iaitu dari November tahun lepas sehingga kini.

"Tempoh wabak denggi di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2 adalah 213 hari membabitkan 104 kes manakala di Taman Cempaka, 203 hari membabitkan 110 kes," katanya.

Dr Mah berkata antara faktor wabak denggi di lokaliti itu adalah disebabkan longgokan sampah haram, longkang tersumbat, rumah kosong terbiar, pembuangan sisa pembinaan dan tingkah laku penduduk menyimpan barang lusuh dan terpakai.

Beliau menggesa masyarakat menggembleng tenaga dalam menjalankan operasi gotong-royong di lokaliti kawasan 'hotspot' denggi di seluruh Perak bagi memerangi wabak penyakit itu.

"Denggi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini hanya dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya. – BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Kematian Akibat Denggi Di Perak Meningkat Kepada 13 Kes"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info