BANGI – Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu mencari jalan memanfaatkan aset seperti tanah atau menubuhkan dana wakaf untuk menjana sumber kewangan sendiri, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya UKM 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau berkata universiti harus bijak menjana sumber kewangan agar tidak terlalu bergantung kepada peruntukan tambahan kerajaan.


“Pihak universiti yang mempunyai pakar dalam pelbagai bidang harus berfikir dan mencari jalan. Kami bukan hendak menguruskan universiti tetapi untuk memperkasakan universiti,” katanya.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 (PPPM-PT) semalam, berkata pihak universiti di negara ini perlu mencari sumber kewangannya sendiri
dan tidak terlalu mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan.


Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pemberian bajet tambahan kepada universiti yang menunjukkan prestasi tinggi.


Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata sebanyak 22 peratus perbelanjaan operasi universiti itu dijana secara dalaman.


“Dulu perbelanjaan operasi hanya 15 peratus dan ia telah meningkat secara beransur sehingga 22 peratus. Kita menyasarkan 30 peratus perbelanjaan operasi universiti adalah dijana secara dalaman menjelang 2020.


“Kami akan melakukan lebih lagi. Perancangan penjanaan kewangan sedang giat dijalankan. Kita berharap agar boleh mendapat kewangan yang kukuh melalui kepakaran dan aset serta penyertaan masyarakat dan industri,” katanya.


Noor Azlan memberi contoh bahawa UKM dan Sime Darby melalui kerjasama strategik telah menubuhkan Kursi Pembangunan Lestari UKM-Yayasan Sime Darby dengan peruntukan RM15 juta. – BERNAMA