KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia menjadikan sukan sebagai gaya hidup secara peribadi.


Perdana Menteri berkata, ini bagi melahirkan masyarakat sihat, cergas dan cerdas, sekali gus terhindar daripada pelbagai penyakit seperti obesiti dan serangan jantung.


Sehubungan itu, beliau mengumumkan Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun sebagai Hari Sukan Negara.


“Pada tahun ini, Hari Sukan Negara diadakan pada 10 Oktober,” katanya berucap melancarkan Kira Detik (Countdown) Hari Sukan Negara 2015, di Bukit Bintang, di sini sebentar tadi.


Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M Saravanan. – BH Online