KOTA BHARU – Pengundi luar diminta pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka walaupun ada kempen yang digerakkan sesetengah pihak di laman sosial menegah mereka pulang.


Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata suruhanjaya itu sentiasa memberi galakan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.


“Jangan lihat siapa yang bertanding dan jangan ikut kempen (yang dijalankan di laman sosial) supaya tak pulang mengundi. Pengundi perlu jalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya ketika ditemui Bernama semasa meninjau persiapan pusat penamaan calon di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.


Hadir sama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ibrahim Bakri Mat Deris dan Pengarah SPR Kelantan Mohamad Mahmud.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen yang dijalankan di laman sosial menegah pengundi supaya tidak pulang mengundi pada 22 Mac ini kerana ramai berpendapat calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad akan memenangi PRK berkenaan.


Mengulas mengenai PRK berkenaan, beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 15 borang pencalonan telah dibeli oleh beberapa individu manakala dua individu telah membayar deposit sebanyak RM5,000.


“Seorang lagi calon memberi komitmen untuk membayar deposit pada hari penamaan calon esok,” katanya.


Abdul Ghani bagaimanapun tidak mendedahkan mana-mana calon bebas yang akan bertanding dan telah membayar wang deposit.


Beliau berkata, pusat penamaan calon akan mula dibuka pada 9 pagi esok dan akan ditutup pada 10 pagi, justeru calon yang bertanding perlu datang awal dan turut menasihatkan supaya calon tidak membawa penyokong melebihi 100 orang.


“Penyokong setiap calon juga perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan SPR dan tidak membawa sebarang alat muzik ataupun pembesar suara ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.


PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.


Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon esok. – BERNAMA