TAWAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Tawau merampas 3,401 kilogram gula dan 1,852 kilogram minyak masak dalam serbuan di Batu 8 Jalan Luasaong, Kalabakan, dekat sini Sabtu lepas.


Ketua cawangan KPDNKK Tawau Peter J. Berinus Agang berkata kesemua barangan kawalan itu dirampas dalam serbuan di sebuah premis di kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.30 tengah hari.


“Ketika serbuan tiga lelaki tempatan termasuk pemilik premis yang berusia lingkungan 40-an berada di premis berkenaan. Apabila diperiksa pemilik premis gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, kesemua barangan kawalan yang dianggarkan bernilai RM14,300 itu dipercayai sedang menunggu proses pengagihan atau pengedaran ke destinasi yang belum dikenal pasti.


Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan melebihi had yang ditetapkan. – BERNAMA