KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan Ketua Audit Negara meneliti secara bebas akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan ketegasan kerajaan untuk memastikan ketelusan semua urusan syarikat itu.


Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir berkata pihaknya menyokong penuh langkah Perdana Menteri itu dan sekiranya sebarang salah laku dibuktikan, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa sebarang pengecualian.


“Tuduhan melulu yang dilemparkan ini termasuk oleh pihak pembangkang telah banyak mempengaruhi persepsi orang ramai yang memandang serong terhadap 1MDB tanpa usul periksa atau mengasaskan persepsi mereka kepada fakta-fakta yang sahih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.


Menurut Moehamad Izat, 1MDB telah merancang beberapa pembangunan projek mega di Malaysia seperti di Jalan Tun Razak untuk mewujudkan sebuah pusat yang boleh dimajukan sebagai hab kewangan seperti yang terdapat di Canary Wharf di London, United Kingdom, Marina Bay di Singapura dan Hong Kong Financial Services, yang pastinya akan merancakkan lagi pembangunan negara pada masa akan datang.


Katanya, perancangan yang dilaksanakan 1MDB pasti akan memberi pulangan yang tinggi dalam jangka masa panjang.


“Kita perlu sedar setiap pelaburan yang dilakukan oleh sesuatu syarikat pasti ada turun naiknya dan 1MDB harus diberi peluang untuk meneruskan rancangan pembangunan yang telah dirancangkan,” katanya.


Katanya, 1MDB ditubuhkan untuk mengendalikan projek-projek strategik yang besar yang boleh menarik pelabur asing masuk ke negara ini dan rakyat Malaysia perlu menaruh harapan kepada syarikat itu untuk mencapai kejayaan. – BERNAMA