Sukan SEA: Malaysia Harap ‘Keajaiban’ Ke Separuh Akhir

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Sukan SEA: Malaysia Harap 'Keajaiban' Ke Separuh Akhir
6/4/2015 8:55:46 AM

SINGAPURA – Malaysia kini perlu mengharapkan 'keajaiban' untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA 2015 selepas kalah tipis 1-0 kepada juara bertahan, Thailand, pada aksi ketiga perlawanan kumpulan B di Stadium Bishan, di sini, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu perlu mengharapkan agar dua pasukan teratas, Vietnam dan Thailand kalah dalam baki dua peringkat kumpulan.

Selain itu, Malaysia 'wajib' menang baki dua perlawanan iaitu menentang Brunei pada Isnin ini dan Laos, tiga hari kemudian sekiranya berhasrat mara ke peringkat separuh akhir edisi ke-28 temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Pada aksi hari ini, jaringan kapten Sarach Yooyen pada minit ke-80 telah memperkasakan kedudukan Thailand ke separuh akhir.

Sebelum itu, skuad negara pantas menyerang kubu pasukan Thailand sebaik sahaja pengadil, Ma Ning dari China memulakan perlawanan.

Skuad negara berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-13, namun kapten pasukan, Gary Steven Robbat gagal menyambar peluang berkenaan apabila sepakan tersasar walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol Thailand, Sae-Ear Chanin.

Kedua-dua pasukan terus saling mengasak kubu masing-masing bagi mencari gol pendahuluan namun ketumpulan penyudah menyaksikan keputusan berkenaan kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Thailand ,yang memburu kemenangan ketiga pada kempen Sukan SEA kali ini, meningkatkan tempo permainan bagi mencari gol pendahuluan.

Malaysia berjaya mengimbangi perlawanan menerusi serangan balas pantas dan penyerang, Syahrul Azwari Ibrahim hampir meletakkan skuad negara di hadapan namun sepakan lencongnya pada minit ke-58 berjaya ditampan keluar oleh Chanin.

Bagaimanapun, kelekaan benteng pertahanan negara yang tidak mengawal pergerakan Sarach pada 10 minit terakhir perlawanan membawa padah apabila wira Thailand itu melepaskan sepakan kencang kaki kiri yang tepat ke penjuru kanan gol Malaysia.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan jadual perlawanan yang ketat, persiapan singkat dan kegagalan anak buahnya menyudahkan peluang jaringan merupakan punca kekalahan kedua skuad negara dalam saingan kumpulan.

Jurulatih berusia 44 tahun itu juga berkata mereka perlu menyemak semula program persediaan mereka serta mengakui Vietnam dan Thailand mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia pada ketika ini.

Sebelum ini, Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste pada perlawanan pembukaan dan kalah 5-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Choketawee Promrut walaupun memuji anak buahnya kerana melaksanakan tugas dengan baik, namun beliau berkata ada ruang untuk penambahbaikan.

"Saya agak terkejut untuk memperoleh gol penting ini selepas Malaysia memberi saingan hebat sepanjang perlawanan. Kami akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan," katanya. – BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Sukan SEA: Malaysia Harap ‘Keajaiban’ Ke Separuh Akhir"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info