Pelik NUFAM Tidak Diiktiraf Airliner Berlagak Cakap Besar

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Pelik NUFAM Tidak Diiktiraf Airliner Berlagak Cakap Besar
6/13/2015 2:02:27 AM

MEREKA langsung tidak termasuk dalam sembilan kesatuan yang diiktiraf Malaysia Airlines (MAS) sejak dulu lagi, malah ketika syarikat penerbangan kebangsaan itu melalui proses pemulihan semula pada waktu kritikal ini.

Berbeza dengan MAS Employees' Union (MASEU) yang termasuk senarai rasmi kesatuan diiktiraf MAS dan paling popular dalam kalangan media massa, kesatuan ini pula hanya berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia (MOHR).

Malangnya, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) bukan sahaja tidak diiktiraf MAS, bahkan lebih teruk semua syarikat penerbangan tempatan lain sehingga kini pun enggan mengiktirafnya.

Anehnya, ketika semua kesatuan dalaman MAS berpuas hati dengan proses penyusunan semula syarikat udara negara termasuk skim pampasan penamatan pekerja, NUFAM tiba-tiba muncul menjadi pengacau.

Presidennya, Ismail Nasaruddin yang dibuang MAS beberapa tahun lalu dilaporkan sebuah akhbar tempatan mengugut mahu mengadakan mogok besar jika MAS enggan menarik balik pemecatan 6,000 pekerja syarikat itu.

Lucunya, sudahlah NUFAM tidak diiktiraf MAS waima syarikat penerbangan tempatan lain, ia tidak pernah pun terlibat dalam proses pemuktamadan perjanjian bersama (CA) berhubung skim pemberhentian kakitangan.

Inilah dikatakan seperti kaduk naik junjung, hanya berbekalkan lesen pendaftaran sebagai kesatuan kebangsaan oleh MOHR, mereka 'berlagak besar' lebih daripada sembilan kesatuan dalaman yang diiktiraf rasmi pihak MAS.

Ismail terlupa, kesatuan diiktiraf MAS sudah lama pun selesai mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sehingga sampai kepada keputusan penting dan terperinci mengenai isu sensitif berkaitan pampasan.

Kelakarnya, apa pula hak NUFAM sebagai orang luar untuk berhak bincang dalam isu berkaitan pekerja MAS termasuk soal pampasan yang memang ikut terma CA, bahkan ada faedah tambahan lagi yang tidak termasuk pun dalam CA itu.

Sudahlah NUFAM dianggap pihak luar yang tiada kena-mengena pun dengan MAS, persoalannya apakah masalah MAS yang secara teknikal sudah muflis, boleh selesai dengan hasut kakitangan MAS melancarkan mogok?

Jika NUFAM belajar daripada sejarah, kesatuan itu pasti tahu bagaimana syarikat penerbangan kebangsaan Jepun iaitu Japan Airlines (JAL) suatu ketika dulu pernah 'gulung tikar' kerana faktor petugasnya suka berdemonstrasi.

Bayangkanlah hanya kerana termakan dakyah kesatuan, pekerja JAL lebih suka piket, membangkang dan mengusutkan keadaan tanpa memberi komitmen atau rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan prestasi JAL.

Apabila JAL 'bungkus' pada 2009, kakitangannya hilang pekerjaan sehingga memaksa kerajaan Jepun menyuntik dana kecemasan 300 bilion yen bagi memulihkan semula syarikat yang ditubuhkan sejak 1951 itu.

Siapakah yang rugi? Apakah itu memang hala tuju NUFAM menghancurkan MAS ibarat mencurah pasir ke dalam periuk nasi ahlinya sendiri padahal pelan pemulihan MAS perlu segera dilaksanakan sebelum keadaan lebih teruk.

NUFAM wajar bersyukur, dana daripada Khazanah Nasional Berhad telah memberi 'talian hayat' kepada MAS dan juga 14,000 pekerja yang dikekalkan, manakala nasib 6,000 pekerja diberhentikan itu juga masih lagi terbela.

Kalau dilihat, banyak syarikat udara termasuk Malindo Air dan AirAsia menawarkan peluang pekerjaan kepada staf MAS yang dibuang kerana sudah berpengalaman dan hanya memerlukan sedikit latihan penyesuaian.

Ironi, kenapa NUFAM terus memaksa MAS untuk mengekalkan lebihan tenaga kerja walaupun sedia maklum yang MAS tidak mampu lagi menanggung mereka? Bukankah lebih baik berhijrah dengan tawaran gaji lebih menarik?

Sebahagian besar pekerja diberhentikan, ada dilaporkan sengaja cuti panjang tanpa sebab kukuh selain menyalah guna sijil cuti sakit dan masalah disiplin kerja. Mereka ini patut berasa malu jika masih lagi dikekalkan dalam MAS!

Bagi pekerja yang merasakan diri mereka benar-benar teraniaya menerusi proses penamatan itu, adalah disarankan lebih baik mengadu kepada kesatuan diiktiraf MAS, bukan pihak luar yang bukan ahli 'keluarga' sebenar MAS serta tiada 'kuasa' pula.

Nasihat mudah buat petugas MAS, jangan percaya kepada hasutan orang ketiga kerana jika terlibat dalam mogok dirancang NUFAM, anda masih tertakluk kepada proses disiplin sedia ada syarikat, malah boleh dibuang kerja.

MAS Employees' Union (MASEU) telah meminta ahlinya supaya jangan menyertai mogok kerana masih ada jalan untuk menuntut hak mereka agar ditarik balik penamatan perkhidmatan atau menawarkan Skim Pemisahan Sementara yang setimpal.

Lebih teruk akibat pembuangan tersebut, pekerja terbabit juga tidak layak untuk menikmati sebarang pakej penamatan yang ditawarkan pihak pengurusan kerana terbabit dalam aktiviti haram anjuran pihak luar. Fikir-fikirkanlah! – mynewshub.cc

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Pelik NUFAM Tidak Diiktiraf Airliner Berlagak Cakap Besar"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info