Majlis Ulang Tahun Peringati Tragedi MH17 11 Julai Ini

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Majlis Ulang Tahun Peringati Tragedi MH17 11 Julai Ini
6/27/2015 12:46:16 AM

KUALA LUMPUR – Majlis ulang tahun pertama bagi memperingati mang­sa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di ruang udara Ukraine tahun lepas akan diadakan pada 11 Julai ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata majlis berkenaan akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Majlis ini bagi memperingati mangsa MH17, tragedi MH17 amat penting bagi kita. Kita amat ambil berat atas apa yang berlaku terhadap pesawat ini dan berazam membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Komuniti Chest di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini, hari ini.

Tragedi pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Sementara itu, Liow berkata kementerian dimaklumkan laporan akhir penyiasatan ke atas tragedi pesawat MH17 sedang disiapkan dan yakin akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Pasukan penyiasatan itu diketuai Belanda dan juga diwakili penyiasat dari Malaysia.

"Kita sedang menunggu laporan dari pasukan penyiasat antarabangsa dan yakin laporan ini akan memberi kita maklumat yang membawa kepada pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan MH17.

"Kalau boleh kita mahu laporan ini secepat mungkin sebab ulang tahun pun tak lama lagi…tetapi kita beri mereka sedikit masa lagi untuk mengetahuinya,"
katanya.

Liow menegaskan kerajaan berazam membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan resolusi bagi mendapatkan usaha dunia untuk menyiasat apa yang berlaku terhadap MH17.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Liow meminta Kementerian Pendidikan menyediakan lebih ramai warga pendidik dalam bidang pendidikan khas di sekolah-sekolah termasuk di SJKC negara ini.

Katanya, pendidik dalam bidang berkenaan didapati masih kurang berbanding murid dan pelajar yang berkeperluan khas.

"Kita tahu Kementerian Pendidikan telah menjalankan pelbagai usaha dalam menyediakan kemudahan pendidikan khas kepada murid-murid, namun kita harap lebih ramai warga pendidik yang mahir dalam keperluan ini dilatih dan ditempatkan di sekolah-sekolah di negara ini," katanya. – BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Majlis Ulang Tahun Peringati Tragedi MH17 11 Julai Ini"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info