BARU-baru ini kecoh dengan tindakan seorang penyampai radio Sinar FM, Kieran yang terlajak kata memanggil seorang pemanggil stesen radio tersebut dengan panggilan ‘sakai’.


Akibat keterlanjuran kata oleh juruhebah terbabit, pihak Sinar FM telah mengeluarkan permohonan maaf berkaitan isu tersebut di laman Facebook mereka.


KIERAN PANGGIL PENDENGAR ‘SAKAI’, SINAR FM MINTA MAAF 


Selaku penyampai radio, AG Hot FM ada pendapatnya yang tersendiri bagi mengulas perkara terbabit yang sedikit sebanyak telah mencalarkan profesion juruhebah radio secara amnya.


AG yang mengendalikan segmen Pagi Hot FM bersama-sama Fara Fauzana dan Fizie menitipkan pesanan buat semua penyampai radio agar sentiasa berwaspada dalam berkata-kata selain tidak terlalu teruja dalam melakukan pekerjaan mereka.


“Saya dah bekerja sebagai penyampai radio selama 15 tahun, kita manusia juga tak lepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan dan kadang-kadang kita tak perasan benda itu adalah satu kesalahan sebab kita bekerja bercakap setiap hari, jadi kita kena berwaspada.


“Saya bukan cakap kat orang lain, saya cakap kat diri sendiri. Saya tahu yang mendengar radio itu ramai, kita tak tahu siapa yang mendengar kita.


“Masa yang berlalu kita tak boleh gantikan, bila dah live itu yang terjadi.


“Sebagai penyampai radio kita kenalah berwaspada, itu keutamaan seorang penyampai radio,” katanya kepada Mynewshub ketika ditemui pada majlis pengumuman hos Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP 2014) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, petang tadi.


AG juga berkata seseorang deejay itu perlulah sentiasa menghormati setiap individu dan tidak terlalu teruja dengan pekerjaan mereka sehingga boleh lupa diri di kala melakukan tugasan mereka di konti radio pada setiap hari.


“Saya suka untuk menasihatkan untuk menjadi seorang penyampai radio jangan terlalu teruja atau excited.


“Kita perlu hormat pada setiap individu, perlu hormat setiap pekerjaan, jangan lupa diri so bila kita tak lupa diri kita akan sentiasa berhati-hati dan kita jaga perasaan setiap orang yang mendengarkan kita, Insyaallah kalau kita jaga, perkara itu (keterlanjuran kata) boleh dielakkan,” katanya lagi.


Sementara itu, untuk ABP 2014, AG sekali lagi tercalon dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Pengacara Lelaki Popular.


Menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, AG sudah tercalon sebagai finalis top 5 selama lapan tahun berturut-turut.


Ketika ditanya mengenai harapannya untuk menang pada kali ini, ini merupakan responsnya, “menang kalah adat pertandingan sebabnya dah lapan tahun saya kalah”.


“Untuk kategori penyampai radio, saya tak boleh nak jangka (siapa menang) sebab masing-masing ada fan base mereka sendiri sebab ini adalah hasil undian peminat menerusi akhbar Berita Harian,” katanya yang tercalon dalam kategori itu bersama-sama pesaing Johan (Era), Salih Yaacob (Sinar), Deen (Hot FM) dan Ebby Halim (Klasik).


Bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular, AG dicabar hebat oleh Awal Ashaari, Zizan Razak, Datuk Aznil Nawawi dan penyandang trofi itu tahun lalu, Datuk AC Mizal. – MYNEWSHUB.CC


Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: RIZA RAZAK