KUALA LUMPUR — Sebuah pasukan penyiasat antarabangsa yang ditubuhkan Malaysia menemu bual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkenaan untuk menyiasat dengan sedalam-dalamnya tentang apa yang berlaku kepada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang setahun lepas bersama 239 penumpang dan anak kapalnya.


Antara yang ditemu bual ialah petugas Jabatan Penerbangan Awam, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain.


Perkara itu terkandung dalam laporan interim yang disediakan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai MH370 untuk memberi maklumat tentang kemajuan yang dicapai dalam penyiasatan mengenai MH370, pesawat Boeing 777-200ER yang menggunakan pendaftaran 9M-MRO.


Muncul melalui siaran televisyen hari ini untuk menjelaskan tentang usaha yang dilakukan setakat ini berhubung kehilangan pesawat itu ialah Datuk Kok Soo Chon (gambar, bawah), yang mengetuai pasukan berkenaan.


mynewshub.cc


“Satu-satunya objektif penyiasatan sesuatu kemalangan atau kejadian ialah untuk mencegah berlakunya kemalangan atau kejadian serupa pada masa akan datang,” katanya sambil menjelaskan bahawa siasatan yang dilakukan bukan bertujuan untuk meletakkan tuduhan atau liabiliti kepada mana-mana pihak.


Kok berkata pasukan itu kini membuat analisis terhadap maklumat sahih dan memberi pertimbangan terhadap bidang-bidang ini: kelayakan untuk terbang serta penyenggaraan dan sistem pesawat; operasi pengawal trafik udara dari 1719 hingga 2232 UTC pada 7 Mac 2014 (0119 hingga 0632 MYT pada 8 Mac 2014); konsainan kargo; dan profil anak kapal.


Bidang lain ialah lencongan daripada laluan penerbangan yang difailkan; maklumat organisasi dan pengurusan maklumat oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS; dan komunikasi satelit.


“Pada bulan-bulan akan datang, pasukan penyiasat ini perlu membuat analisis untuk membuat kesimpulan dan mengemukakan syor tentang keselamatan berdasarkan maklumat sahih yang dikumpul.


“Selain fasa membuat analisis dan kesimpulan, langkah yang akan diambil juga termasuk membuat pengesahan seterusnya tentang maklumat sahih mengenai kemunculan bukti baharu,” kata Kok.


Beliau berkata pasukan itu menjangka maklumat sahih seterusnya akan dapat diperoleh daripada bangkai dan alat perakam penerbangan sekiranya pesawat itu dijumpai.


Dalam melaksanakan tugasnya, pasukan itu juga membuat lawatan ke tempat pengendali kargo, penghantar barangan dan penerima konsain bateri lithium-ion serta manggis.


Dalam hal ini, anggota pasukan itu berkunjung ke Subang, Pulau Pinang dan Muar serta Beijing dan Tianjin di China bagi mengumpul data dan mengadakan temu bual.


Kok berkata maklumat sahih yang dikumpul pasukan itu termasuk rakaman radio kawalan trafik udara (ATC) dan pita radar.


Ia juga menyediakan transkrip komunikasi radiotelefoni antara pesawat berkenaan dengan para pengawal trafik udara dan antara para pengawal trafik udara dengan Pusat ATC di Ho Chi Minh dan Singapura; dan antara para pengawal trafik udara dengan Pusat Operasi MAS di KLIA.


Kok berkata mereka menyimpan dan menyemak semula rekod penyenggaraan pesawat, termasuk pakej semakan penyenggaraan, log teknikal, arahan layak terbang, pengubahsuaian dan kerja pembaikan serta laporan kejadian wajib.


Rekod itu juga menyentuh laporan mengenai berat dan imbangan, jadual penyenggaraan, pensijilan layak terbang dan dokumen berkaitan.


Di samping itu, sesi simulator untuk menyusun semula profil penerbangan dan operasi sistem pesawat berkenaan juga dilakukan, kata Kok.


Beliau juga menyebut tentang kunjungan yang dilakukan ke Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, Subang; Pejabat Perkhidmatan Trafik Udara, KLIA; Air Nav Indonesia, Medan (Indonesia); Southern Region Air Traffic Services Company, Ho Chi Minh City (Vietnam); DCA, Bangkok (Thailand); dan Civil Aviation Authority of Singapore bagi mengumpul data dan mengadakan temu bual.


Kok berkata maklumat sahih yang dikumpul setakat ini dan diterbitkan dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan adalah bersifat interim atau sementara dan maklumat baharu yang mungkin diperoleh kelak mungkin mengubah maklumat berkenaan sebelum laporan muktamd diterbitkan.


“Pasukan penyiasat itu menjelaskan bahawa maklumat sahih yang dikumpul itu mengandungi fakta yang telah disahkan setakat tarikh semasa sahaja.


“Maklumat yang diberi setakat ini hanya bertujuan untuk memaklumkan kepada industri penerbangan dan orang ramai tentang keadaan umum berkaitan kemalangan yang menimpa MH370 dan perlu dianggap sebagai bersifat tentatif dan tertakluk kepada pindaan atau pembetulan sekiranya bukti tambahan diperoleh,” katanya.


Kok seterusnya berkata pasukan penyiasat itu telah menyediakan Prosedur Operasi Standard dan senarai semak penyiasatan sebagai persiapan bagi menghadapi kerja mengeluarkan pesawat berkenaan sebaik sahaja ia dikesan pasukan pencari.


Pasukan itu ditubuhkan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menyiasat kehilangan MH370.


Diketuai seorang ketua pemeriksa/ketua penyiasat, ia mengandungi tiga jawatankuasa yang meliputi faktor operasi, kelayakan terbang dan perubatan/kemanusiaan.


Pasukan itu dianggotai wakil bertauliah daripada tujuh pertubuhan penyiasatan kemalangan dan kejadian udara antarabangsa iaitu Australian Transport Safety Bureau (ATSB); Air Accidents Investigation Branch (AAIB) of the United Kingdom; dan Air Accident Investigation Bureau (AAIB) of Singapore.


Anggota lain ialah Bureau d’Enquêtes et d’Analyses pour la Sécurité de l’Aviation civile (BEA) dari Perancis; Civil Aviation Administration of China (CAAC); National Transportation Safety Board (NTSB) of the United States; dan National Transportation Safety Committee (NTSC) of Indonesia.-BERNAMA