IPOH – Seorang kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan maut manakala suami dan anak lelaki mereka cedera ringan selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 33.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Zarina Mohd Hasin, 47, cedera parah selepas tercampak keluar dari kereta jenis Honda City itu.


Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon ketika dihubungi berkata Zarina, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, meninggal dunia pada pukul 7.35 petang di Hospital Kampar.


Beliau berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu suami mangsa, Zulkipli Din, 49, dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terhumban ke longkang besar.


“Kemalangan itu turut menyebabkan anak mereka Zulqashfi Nadzmi, 18, yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan,” katanya.


Katanya kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Kampar. – BERNAMA