Lim Kit Siang Puji Khalid Tak Gentar Ugutan Bunuh


KUALA LUMPUR, 27 Februari: Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak gentar dengan ugutan bunuh oleh satu kumpulan baru-baru ini wajar dipuji.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata, sikap Khalid yang tenang ketika berdepan dengan ancaman wajar dijadikan contoh oleh semua penjawat awam di negara ini.

Malah, Kit Siang turut menyokong usaha pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terbabit dalam rakaman video yang membuat ugutan jenayah termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Polis Negara.

“Malaysia tidak memerlukan sebarang kegiatan seperti IS yang ganas dan kejam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mengulas mengeni video tiga individu yang menggelarkan mereka sebagai Anak Muda Anti Demokrasi (AMAD), yang pada Selasa lalu mengugut untuk membunuh Khalid dengan meletupkan kenderaannya.

Kit Siang turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa, jawatan Ketua Polis Negara perlu dihormati sebagai sebuah institusi walau siapapun yang menjawat jawatan itu dan bukannya sebagai individu.

Namun katanya, menyedari hakikat bahawa KPN mewakili sebuah institusi dan bukan sebagai individu, Khalid perlu sedar akan peranan dan tanggungjawabnya.

“Ini termasuklah bertindak sebagai seorang anggota polis yang profesional, tidak berpihak untuk menegakkan undang-undang atau pilih kasih, tidak kira sama ada orang itu dari pembangkang, masyarakat awam mahupun pihak kerajaan,” katanya. - The Rakyat Post

0 Komentar untuk "Lim Kit Siang Puji Khalid Tak Gentar Ugutan Bunuh"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info