JOHOR BAHARU – Seorang lelaki ditahan ketika cuba menyamun sebuah kereta di Jalan Dedap 15, Taman Johor Jaya di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Abd Samad Salleh berkata lelaki berumur 38 tahun itu diberkas orang awam dan pihak polis sebelum diserah kepada polis.


Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang di kawasan parkir di perumahan itu semasa mangsa seorang wanita berumur 43 tahun sedang memanaskan enjin kereta Proton Saga SV.


“Mangsa didatangi lelaki berkenaan yang terus masuk ke dalam keretanya, namun beberapa orang awam kemudian cuba menahan lelaki tersebut apabila menyedari kejadian itu,” katanya menerusi satu kenyataan.


Abd Samad berkata sepasukan polis berpakaian preman dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut melihat lelaki itu sedang dikejar orang awam dan pihak polis kemudian berjaya menahan suspek.


Lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan dengan penahannya polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes jenayah jalanan di bandar raya ini.


Suspek kini direman untuk siasatan lanjut kerana cubaan samun. – BERNAMA