LONDON – Sekumpulan pelancong terkejut apabila mereka terlihat seorang lelaki bogel sedang berusaha menuruni permukaan dinding Istana Buckingham dengan hanya menggunakan sambungan kain cadar, lapor media tempatan pada Isnin.


Kejadian menggemarkan warga London itu turut sensasi apabila tersebar menerusi laman Youtube dan insiden tersebut dirakamkan di kawasan Constitution Hill, di luar Green Park ketika jadual pertukaran pengawal pintu pagar diraja berlangsung.


Sewaktu kamera video amatur tersebut membuat zoom atau memperbesarkan pemandangan bangunan istana Ratu Elizabeth II itu, tampak ada seseorang bertelanjang bulat telah keluar dari jendela dengan cadar yang disambung seperti tali panjang.



Anehnya, walau pun lelaki berbogel itu hanya beberapa meter jarak jauhnya, pengawal istana kelihatan sama sekali tidak menyedari apa yang berlaku tepat di atas mereka ketika sesi bertukar jadual tugas yang popular dalam kalangan pelancong.


Lelaki misteri tersebut dilihat secara perlahan-lahan menurunkan dirinya dengan tali cadar selama beberapa saat tetapi kemudian selepas 3 meter, dia tiba-tiba hilang pegangan dan terjatuh ke tanah yang berjarak kira-kira 6 meter di bawahnya itu.


Uniknya, di sebalik insiden itu, tiada seorang pun pegawai istana atau pengawal diraja dilaporkan segera memberi bantuan kecemasan sebaliknya, rakaman video tersebut cuma menunjukkan beberapa pelancong tergamam melihat ‘drama’ itu.



Bagaimanapun video berdurasi 45 saat itu dipercayai palsu hasil teknik penggambaran yang cukup rumit apabila media Britain melaporkan, pihak Istana Buckingham sendiri enggan mengesah atau menafikan penyebaran video kejadian pelik tersebut.


Keadaan menjadi lebih misteri apabila jurucakap polis Metropolitan London malah menjelaskan, mereka tidak pernah menerima apa-apa laporan mengenai kes seorang lelaki telanjang ‘bergayut’ terjunam di luar jendela istana bersejarah itu


Perkhidmatan ambulans London juga mengatakan, mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan untuk merawat pesakit bogel yang menderita akibat luka parah disebabkan terjun dari tali yang diperbuat daripada kain cadar. – Agensi