PENYANYI Amy Mastura, penyampai radio Hot FM, AG dan pelakon yang semakin meningkat naik namanya, Sherry Al-Hadad telah dipilih menjadi trio pengacara untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) yang bakal berlangsung pada April ini.


Pengumuman hos anugerah yang mengukur tahap populariti selebriti tanah air itu turut berlangsung sama dengan pengumuman artis-artis yang bakal mengadakan persembahan serta barisan selebriti yang dipilih bagi menyampaikan trofi bagi kategori yang dipertandingkan.


Majlis pengumuman tersebut berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan barisan artis hadir menggayakan tema busana berwarna merah jambu.


Antara artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam anugerah itu ialah Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Akim, Mark Adam, Hazama, Bocey, Salamiah Hassan, Elizabeth Tan, Azlan and The Typewriter, Black, Atilia, Aweera, Lefthanded dan juara Mentor, Azmil.


Sementara itu, antara penyampai pada majlis yang bertemakan Semarakkan Cinta itu adalah Mummy Khaty Fauziah, anaknya, Shaheizy Sam dan Zizie Ezzette, Ayda Jebat, Zul Arifin, Zara Zya, Amelina, Ifa Raziah, Nur Fathia, Hafiz Hatim, Ikhwan Hot FM, Tun Nadia Hot FM, Hisyam Hamid, Syukri Yahaya, Shahrul Ridzwan, Siti Saleha dan penyampai cilik, Puteri Balkis.


abp1

Barisan selebriti yang terlibat dalam penganjuran Anugerah Bintan gPopular 2014 yang akan berlangsung pada 5 April ini.


Majlis kemuncak ABPBH 2014 akan berlangsung pada 5 April ini di Arena of Stars, Genting Highland pada jam 9 malam yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3.


Sebanyak 15 kategori utama dipertandingkan antaranya Penyanyi Lelaki Paling Popular, Penyanyi Wanita Paling Popular, Pelakon Lelaki Paling Popular, Pelakon Wanita Paling Popular dan lain-lain lagi.


Searus dengan perkembangan teknologi, sebanyak enam kategori online ditambah oleh pihak penganjur, antaranya kategori Artis Paling Kontroversi, Gandingan Serasi Di Layar, Pasangan Selebriti Romantis, Personaliti Popular, Artis Wanita Stailo dan Artis Lelaki Stailo yang diundi menerusi talian online.


Syarikat produk kecantikan, Zarra Sinar Puteri, ialah penaja platinum bagi ABPBH 2014, manakala penaja emasnya pula Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSSPPA), Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd.


UMW Toyota Motor Sdn Bhd, iaitu penaja perak, pula menyediakan kereta Toyota Vios untuk pembaca bertuah dan Camry bagi pemenang Bintang Paling Popular.


TV3 dipilih sebagai stesen televisyen rasmi acara ini, sementara Hot FM pula stesen radio rasminya. Selain itu, Tonton diangkat sebagai platform digital rasmi ABPBH 2014. – MYNEWSHUB.CC


abp2

Barisan selebriti yang terlibat dalam penganjuran Anugerah Bintan gPopular 2014 yang akan berlangsung pada 5 April ini.


Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: RIZA RAZAK