Sistem Online PLKS Masuki Fasa Ujian Rintis Mulai 1 Mac


PETALING JAYA – Perkhidmatan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) akan memasuki fasa pengujian rintis bermula 1 Mac ini.

Perkhidmatan dalam talian itu sebelum ini di dalam peringkat pembuktian konsep (POC) yang akan berakhir pada 28 Februari.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, fasa pengujian rintis tersebut akan dilakukan dalam tempoh lima bulan sehingga 31 Julai depan.

“Ia selaras dengan hasrat murni untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rabu lalu, Kabinet memutuskan kaunter bagi pembaharuan PLKS di pejabat imigresen terus dibuka selepas 28 Februari.

Mustafa berkata, keputusan untuk terus membuka kaunter berkenaan adalah sehingga pelan lebih komprehensif terhadap isu semasa berkaitan sistem dalam talian diselesaikan.

“Sehubungan itu, majikan/pengarah/pengurus sumber manusia syarikat dibenarkan berurusan di kaunter Jabatan Imigresen bagi tujuan pembaharuan PLKS tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat sedia ada,” katanya.

Beliau menambah, pada masa sama perkhidmatan memperbaharui PKLS menerusi sistem dalam talian dilaksanakan seperti biasa.

Sistem dalam talian bagi perkhidmatan itu dikuatkuasakan sejak 5 Januari lalu. – mStar Online

0 Komentar untuk "Sistem Online PLKS Masuki Fasa Ujian Rintis Mulai 1 Mac"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info