Rembau: Seorang bapa dan anak lelakinya dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi tadi atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang cuba menyamun isterinya bulan lalu.
Moo He Hong, 56, dan anaknya Moo Wee Keong, 28, masing-masing bekerja di Singapura mengangguk faham sejurus pertuduhan berkenaan dibaca jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan Majistret Mahyun Yusof.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan membunuh Chan Boon Poh, 42, berhampiran rumah No A113 Kampung Baru Cina Tambahan, Air Kuning Selatan, dekat Gemencheh, Tampin pada 24 Februari lalu, pada 12.30 tengah malam.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Azuan Said manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 April depan di Majistret Gemas, Tampin. - myMetro Online
0 Komentar untuk "Bapa dan Anak Didakwa Bunuh Penyamun, Hukuman Gantung Sampai Mati Jika Sabit Kesalahan."