Terdapat segelintir penyokong ISIS cuba menggambarkan kumpulan ISIS adalah mujahidin Islam seperti HAMAS dan sayap tenteranya Izzuddin al Qassam. Umumnya HAMAS memang diterima dikalangan majoriti umat Islam sebagai pejuang pembebasan yang benar menentang kezaliman Zionis Israel untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin. Sejak dikenali dengan bermulanya Intifadah Palestin hampir 30 tahun yang lalu, HAMAS telah membuktikan keteguhan pendirian dan prinsip Islam mereka dalam perjuangan. 2 intifadah ( 1987 dan 2000 ) dan 3 perang yang dipaksakan oleh Israel ( 2008, 2012 dan 2014 ) menjadi bukti HAMAS sebagai gerakan rakyat yang mempertahankan hak Palestin pada masa yang sama teguh menuntut pembebasan Masjidil Aqsa bagi pihak umat Islam sedunia. Bahkan hari ini dikalangan bukan Islam juga telah mula menerima HAMAS sebagai perjuangan rakyat Palestin dan bukannya kumpulan pengganas yang cuba digambarkan oleh media Barat dan Israel. Negara Barat juga mula mengakui isu Palestin tidak mungkin diselesaikan tanpa penglibatan HAMAS.
Kedudukan HAMAS yang mula diterima umat Islam sebagai `kayu ukur’ perjuangan Islam menyebabkan segelintir penyokong ISIS cuba menyandarkan kumpulan mereka kepada HAMAS sedangkan keduanya mempunyai jurang perbezaan yang sangat jauh. Titik permulaan dan sejarah perjuangan mereka juga amat berbeza. Walaupun HAMAS hanya dikenali sekitar pertengahan 80an, pembentukan kader-kader HAMAS melalui manhaj tarbiyyah (sistem pendidikan) Ikhwanul Muslimin telah bermula secara teratur sejak awal 1970an. Ketika itu Israel menduduki didalam Gaza dan HAMAS menumpukan kepada pembentukan peribadi-peribadi dan kelompok-kelompok Muslim yang berpegang teguh dengan Islam pada aqidah, ibadah dan akhlak Islam. Fasa kedua bermula dengan Intifadah Pertama pada 1987 dimana rakyat Palestin mula bangkit menyatakan penentangan mereka kepada penjajahan Israel didalam Gaza secara aman – memboikot pentadbiran Israel, tidak membayar cukai, berhenti bekerja dengan majikan Israel, graffiti slogan anti-Israel, menyekat laluan tentera Israel dengan membakar tayar serta membaling batu kepada tentera Israel. Intifadah pertama dan kedua berlaku sehingga Israel tidak dapat lagi bertahan dan membuat keputusan untuk keluar dari Gaza pada 2005.
Pilihanraya demokratik Palestin yang pertama pada 2006 dibawah pengawasan Kesatuan Eropah memberi kemenangan kepada HAMAS di Gaza. Melihat kebangkitan HAMAS sebagai satu ancaman kepada Israel, 3 perang besar-besaran dilancarkan keatas Gaza pada 2008, 2012 dan 2014. Dalam setiap serangan tersebut HAMAS membuktikan mereka mampu mempertahankan Gaza dan memaksa Israel menghentikan serangan. Keteguhan mereka berhadapan dengan tentera Zionis Israel yang diketahui antara yang termoden didunia dan disokong oleh kuasa besar Amerika Syarikat menjadi lagenda perjuangan Islam menentang kezaliman.
Sejarah yang panjang kebangkitan HAMAS bersama rakyat Palestin menjadi bukti kebenaran dan keteguhan mereka dalam perjuangan. HAMAS tidak datang dengan slogan dan syiar yang menarik seperti jihad, negara Islam, Khilafah Islam atau sepertinya tetapi HAMAS membuktikan dengan darah dan nyawa bahawa merekalah yang berada digarisan hadapan mempertahankan bumi dan rakyat Palestin sambil berpegang teguh dengan ajaran alQuran dan akhlak Islam.
Tidak seperti ISIS yang menempa ‘kemasyhuran’ dengan pembunuhan secara kejam terhadap sesiapa sahaja yang menentang mereka samada golongan Islam atau tidak, samada Sunni mahupun Syiah – HAMAS melalui sayap tenteranya Izzudin al Qassam sangat menjaga akhlak dan tertib dalam berperang walaupun terhadap musuh. Senjata mereka jelas ditujukan kepada Zionis Israel sahaja dan mereka bekerjasama dengan kumpulan mujahidin Palestin yang lain – tidak seperti ISIS yang menjadikan kumpulan mujahidin Syria dan Iraq yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai musuh yang mesti diperangi dan dibunuh. Peristiwa pembunuhan kejam ISIS terhadap juruterbang Jordan Muath Al-Kassasbeh yang dibakar hidup-hidup dan dipertayangkan kepada dunia tanpa rasa ihsan dan kemanusiaan meletakkan HAMAS dan ISIS ibarat langit dan bumi. Sedangkan tentera Israel Gilad Shalit yang ditawan oleh HAMAS selama 5 tahun dikembalikan kepada Israel tanpa diapa-apakan sebagai ganti pembebasan lebih 1000 tahanan Palestin. Abu Mujahed, jurucakap Izzudin al Qassam menegaskan bahawa Shalit “ ….. tidak diapa-apakan sama sekali. Beliau dilayan dengan akhlak yang diajarkan oleh Islam dalam menjaga tahanan perang.”
Satu lagi perbezaan yang jelas diantara tentera HAMAS dan ISIS adalah berhubung keanggotaan di kalangan pejuang asing. ISIS begitu berbangga dengan kejayaannya menarik ratusan jika tidak ribuan pencinta jihad dari seluruh dunia menyertainya. Pintu keanggotaan dibuka luas kepada siapa saja yang ingin `berjihad’ tanpa mengira bangsa, negara asal, latar belakang ataupun persediaan diri. Berbeza dengan tentera HAMAS yang walaupun telah hampir 20 tahun berperang melawan Israel, tidak kedengaran atau hampir tiada rekrut diambil dari luar Palestin. Tentunya jika HAMAS membuka pintu keanggotaan kepada semua pencinta jihad, ribuan akan menyambutnya dalam sekelip mata kerana perjuangan melawan Zionis amat jelas siapa yang benar siapa yang bathil. Syahidnya tidak diragukan. Tetapi itu tidak berlaku. Yang kita dengar ialah syarat-syarat yang sangat ketat jika ingin menyertai mereka. Disamping syarat-syarat kemampuan fizikal; syarat-syarat berhubung amalan Islam seperti tidak meninggalkan solat berjamaah, sentiasa berpuasa sunat dan hafazan al Quran menjadi keutamaan. Mereka bukan mencari bilangan yang ramai tetapi mujahid yang berkualiti. Syarat-syarat yang ketat ini juga membantu menjaga kesejahteraan HAMAS dari anasir luar yang mungkin merosakkannya. Sedangkan apabila ISIS membuka luar pintunya kepada sesiapa saja, maka yang menyertai ISIS datang dari pelbagai latar belakang dan dengan pelbagai sebab. Mungkin ada yang ikhlas tetapi `naif’ datang mencari laluan mudah syahid ke syurga, tidak kurang juga yang datang untuk membalas dendam atas kekejaman Assad, Nouri atau Syiah keatas keluarga mereka, atau pengikut Ba’athis Saddam yang cuba mencari peluang berkuasa semula. Juga tidak dapat ditolak adanya agen-agen provokatier yang sengaja ingin merosakkan imej Islam melalui ISIS samada dari kalangan Syiah, Israel atau agen-agen perisikan barat.
Menurut pendedahan ekslusif Al Arabiya News Channel pada 14 Februari 2014, sekurang-kurangnya 2 orang pemimpin tertinggi ISIS selepas Abu Bakar al Baghdadi adalah bekas tentera di zaman Saddam Hussein. Tentera Saddam terkenal dengan pegangan Ba’ath mereka, memusuhi Islam dan menzalimi rakyat Iraq sendiri samada Sunni mahupun Syiah. Adnan Latif Hamid al-Sweidawi (@ Abu Ayman al Iraqi) yang dipercayai mengetuai Majlis Tentera ISIS adalah adalah bekas kolonel Tentera Iraq dan pegawai perisikan Tentera Udara Iraq. Waleed Jassem al Alwani (@ Abu Ahmad Al Awani) juga bekas komander tentera Iraq dibawah Saddam Hussien dan dipercayai menjadi ahli Majlis Tentera ISIS. Beliau dilaporkan telah terbunuh dalam serangan udara terhadap ISIS pada penghujung 2014. Al Arabiya News Channel pada 19 Disember 2014 pula melaporkan seorang lagi pemimpin tertinggi ISIS yang dipercayai sebagai orang ke 2 ISIS di Iraq, Abu Muslim al Turkmani juga adalah bekas leftenan kolonel di era Saddam.
Kehadiran bekas tentera Saddam memimpin ISIS memberi pencerahan tentang kemampuan strategi ketenteraan ISIS yang membawa kejayaan demi kejayaan pada peringkat awal. Namun kehadiran mereka menimbulkan seribu keraguan tentang matlamat ISIS untuk memperjuangkan Islam apa lagi menubuhkan negara Islam yang benar.
Tidak kurang juga laporan daripada kumpulan mujahidin di Syria bahawa beberapa pemimpin ISIS di Syria adalah bekas pegawai tentera dan perisikan Bashar Assad. Mereka dipercayai bekerjasama dan memberi maklumat kepada tentera Assad untuk menyerang mujahidin Syria.
Ini menjadikan ISIS kumpulan yang bercampur-aduk kepentingannya, matlamat dan tujuan ahlinya, kesatuan kefahaman dan pegangan agamanya. Kecelaruan ini jauh sekali dari menjadikan ISIS sebagai gerakan mujahidin Islam bahkan tindakan kejam dan tanpa akhlak Islam mereka lebih mirip kepada kumpulan pengganas dan gengster dengan matlamat dan kepentingan pribadi dan kumpulan.
Nasim Ahmad dalam artikelnya di Middle East Monitor pada 14 September 2014 menyimpulkan “Asal dan tapak mereka (ISIS dan HAMAS) adalah berbeza. Taktik mereka tidak dapat disamakan dan masa depan mereka tidak mungkin bertemu.”(1)
Percubaan untuk menyamakan ISIS dengan HAMAS juga ditolak oleh kenyataan dan tindakan ISIS sendiri. ISIS tidak mengiktiraf HAMAS sebagai pejuang Islam yang benar bahkan sebahagiannya mengkafirkan HAMAS hanya kerana HAMAS menyertai pilihanraya Palestin yang dianggap oleh ISIS sebagai memperjuangkan ideologi demokrasi.
Fahaman dibawa oleh ISIS tidak menjadikan isu pembebasan Palestin sebagai keutamaan. Bapa asal ISIS, al Qaeda juga tidak menjadikan ini keutamaan. Hampir tiada pendirian yang mereka nyatakan terhadap pembebasan Baitul Madqis atau kekejaman Israel. Mereka lebih mengutamakan `pembersihan’ negara Islam dari pemerintahan yang tidak Islamik, membersihkan rakyat negara Islam dari golongan yang mereka anggap munafik dan murtad dan juga golongan Syiah. Mereka membawa sandaran Khalifah Abu Bakar as Siddiq mendahulukan penghapusan golongan murtad dan mengembangkan negara Islam dan Salahuddin Al Ayubi menumbangkan kerajaan Syiah sebelum menakluki Baitul Maqdis. Bagi mereka jihad hanya boleh dilaksanakan dibawah panji-panji dan pimpinan yang satu iaitu Khilafah Islam yang mereka istiharkan. Perjuangan HAMAS untuk membebaskan Palestin dan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dianggap bertentangan dengan konsep khilafah Islam mereka dimana tiada batasan negara antara umat Islam melainkan semuanya hendaklah berada dibawah khilafah yang satu.
Pada tahun 2009, sekumpulan penduduk Gaza yang membawa fahaman ini dibawah nama Jund Ansarullah (Tentera Penolong Allah) pimpinan Abdul Latif Moussa @ Abu an Noor al Maqdasi telah mengistiharkan penubuhan “Emirat Islam di Baitul Maqdis” (Al Emirate Al Islamiyah fi Aknaf Baeytul Maqdas). Mereka juga menyamakan kerajaan HAMAS dengan Israel sebagai kerajaan sekular. Untuk mengelakkan fahaman melampau ini berkembang, polis HAMAS telah mengepung markas mereka di Masjid Ibn Taimiyah di Rafah dan meminta mereka menyerah. Wakil HAMAS yang dihantar untuk berunding, Muhammad Jibril al Shemali telah dibunuh. Pertempuran selepasnya menyebabkan keseluruhan anggota Jund Ansarullah terbunuh. Peristiwa ini menjadi titik hitam hubungan HAMAS dengan golongan pelampau seperti ini.
Wallahu’alam.
Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
FELO Palestine Centre of Excellence
J/kuasa Pembelaan Ummah Sejagat
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor
0 Komentar untuk "Adakah ISIS Sama Seperti Hamas - FELO Palestine Centre of Excellence"