BANDAR MEXICO – Dua mayat seperti mumia ditemui dalam keadaan berpelukan di puncak tertinggi negara ini dan dipercayai milik dua pendaki gunung yang hilang dalam runtuhan salji pada 1959, lapor pihak berkuasa.
Seorang anggota penyelamat kelmarin mendedahkan satu misi untuk mengeluarkan mayat-mayat itu dari Gunung Pico de Orizaba terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin ini bagi membina satu bekas khas untuk mengangkut mayat berkenaan dalam keadaan asalnya.
Misi mencari mayat tersebut dimulakan Khamis lalu selepas beberapa pendaki menemui satu tengkorak manusia di permukaan ais gunung tersebut awal minggu ini.
“Kumpulan mencari itu mengorek ais di sekeliling kepala tersebut kemudian menemui satu lagi mayat. Kedudukan kedua-dua mayat itu mengejutkan kami kerana umpama sedang berpelukan,” kata salah seorang pendaki yang menemuinya, Francisco Rodriguez.
Cuaca kabus tebal menyebabkan hanya dua daripada 12 anggota penyelamat tiba di tapak mayat-mayat tersebut ditemui iaitu kira-kira 300 meter dari puncak gunung dengan ketinggian 5,610 meter itu.
Penemuan itu juga diharap merungkai misteri kehilangan pendaki di situ sejak 55 tahun lalu.
Pasukan penyelamat juga berpendapat kemungkinan ada satu lagi mayat akan ditemui memandangkan mereka baru menggali setengah meter salji di tapak tersebut.
Beberapa waris dari Jerman dan Sepanyol yang kehilangan saudara di gunung itu juga telah menghubungi pihak berkuasa di sini untuk pengesahan. – AFP
0 Komentar untuk "Dua Mumia Berpeluk Ditemui Di Puncak Gunung Bersalji"