TANAH MERAH – Pelumba Australia, Caleb Ewan daripada pasukan Orica GreenEdge menampilkan kayuhan bertenaga apabila memenangi peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 melibatkan jarak 170km dari Gerik ke Tanah Merah hari ini.
Pencapaian bergaya itu menyaksikan pelumba kelahiran New South Wales berusia 20 tahun itu merampas Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dan juga Jersi Biru sebagai Raja Pecut, daripada pelumba Itali Andrea Guardini yang mewakili Astana Pro Team dari Kazakhstan.
Pada perlumbaan hari ini, Ewan melakukan tindakan berani menyertai kelompok pelumba di hadapan pada zon pendakian kedua di Titiwangsa yang berada pada ketinggian 1,006 meter dari paras laut, sebelum membuat pecutan ke garisan penamat dengan catatan 4 jam 13 minit 32 saat, bersama-sama kumpulan pelumba lain.
Mengenai kejayaan tersebut, pelumba agresif Australia yang pakar dalam pecutan itu, menyifatkan perlumbaan hari ini adalah paling sukar setakat ini dalam LTdL 2015 kerana terpaksa menempuh beberapa selekoh tajam dan juga laluan berbukit di kawasan Titiwangsa.
“Pelumba lain memberi saingan sengit kepada saya sehingga ke garisan penamat. Kelompok pelumba cuba membuat gerakan serangan ke atas kami (pelumba Orica GreenEdge) namun kami semua tetap kukuh dan akhirnya kami berjaya meraih kemenangan,” kata Ewan kepada pemberita selepas perlumbaan.
“Ia cukup hebat untuk memenangi perlumbaan ini. Kesemua rakan sepasukan saya juga menampilkan prestasi yang luar biasa,” katanya.
Ewan juga melahirkan keyakinan mampu mengekalkan kedua-dua jersi berkenaan pada perlumbaan peringkat keempat esok, melibatkan jarak 165.4km dari Kota Baharu ke Kuala Berang kerana kesemua pelumba terpaksa berdepan cuaca panas terik seperti mana ketika saingan pembuka tirai di Langkawi Ahad lepas.
Kesemua 131 pelumba akan mengharungi tiga zon pecutan di Pasir Puteh, Jertih dan Permaisuri serta zon pendakian di Sungai Tong pada perlumbaan peringkat keempat LTdL 2015, esok. – BERNAMA
0 Komentar untuk "LTdL 2015: Caleb Ewan Juarai Peringkat Ketiga"