Setiap perkahwinan mengimpikan anak-anak bagai menyambung zuriat keturunan mereka, tangisan bayi pertama kali menangis selepas selamat di lahirkan amat di tunggu oleh ibu bapa.
Serta-merta kesakitan dan kepayahan sepanjang proses bersalin si ibu hilang. Sebelum belajar adab menyambut kelahiran bayi, suami perlu belajar adab ketika isteri mengandung.
Kami paparkan 4 Cara Menyambut Kelahiran Bayi Menurut Islam yang perlu dilakukan sejurus bayi dilahirkan.
1. Azan dan iqamah
Selepas itu, bayi yang comel, montok dan berambut lebat itu diserahkan kepada ayah untuk pertama kali diperdengarkan kalimah tauhid iaitu azan di telinga sebelah kanan dan iqamah di telinga sebelah kiri.
Rahsia azan dan iqamah buat bayi yang baru dilahirkan ialah syaitan akan lari daripada kalimah azan itu, walaupun sebelum itu dia ternanti-nanti kelahiran anak itu.
Selain itu, hikmah pertama kali yang didengari oleh telinga bayi ialah kalimah seruan yang mulia yang mengandungi kebesaran Allah s.w.t dan kata-kata dua kalimah syahadah.
Hal ini diibaratkan seperti mentalkinkan kepada si bayi akan kebesaran syiar Islam. Kesan azan ini akan sampai terus ke lubuk hatinya dan kesan ini akan kekal, In Shaa Allah.
Rasulullah SAW begitu teliti mengajar umatnya tentang hal ini. Baginda begitu mengambil berat tentang aqidah tauhid dan iman. Serta pemerhatiannya hendak menghalau syaitan dan hawa nafsu, sejak dari mula anak itu menghidu udara di dunia ini dan bernafas untuk hidup.
2. Doa
Digalakkan membaca surah ayatul kursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Disertakan juga doa khusus untuk bayi yang baru lahir iaitu :
Maksudnya : “Aku mohon perlindungan untuk anakku dengan kalimah-kalimah Allah s.w.t yang sempurna dari segala gangguan syaitan dan dari segala binatang serta dari segala sorotan mata yang dapat membawa akibat buruk kepada apa yang dilihatnya”.
3. Tahnik
Tahnik adalah mengunyah kurma dan memindahkan ke lidah anak yang baru dilahirkan. Caranya ialah letakkan kurma yang telah dikunyahkan ke hujung jari, lalu di masukkan perlahan-lahan hujung jari itu ke dalam mulut bayi yang baru dilahirkan. Seterusnya, gerakkan jari ke kanan dan kiri dengan lemah lembut sehingga meliputi ke serata mulut anak kecil dengan kurma yang dikunyah tadi.
Jika tidak ada kurma, boleh digantikan dengan madu dan seumpamanya asalkan ia manis.
Hikmah bertahnik ialah urat-urat di sekitar mulut bayi akan menjadi kuat dengan gerakan lidah. Hal ini memudahkan bayi menghisap susu ibunya dengan kuat secara semulajadi.
Perbuatan tahnik ini diutamakan dilakukan oleh seorang yang soleh dan taqwa untuk mengambil berkatnya supaya harapan anak itu kelak akan menjadi seorang yang soleh dan bertaqwa pula, In Shaa Allah.
4. Memberi ucapan tahniah dan hadiah
Sunnat bagi seseorang Muslim segera untuk menggembirakan saudara Muslimnya yang lain apabila dia mendapat seorang anak. Caranya ialah dengan mengucapkan tahniah dan menimbulkan perasaan gembira di dalam hatinya. Hal ini akan merapatkan silaturrahim, menimbulkan kasih saying dan kemesraan di antara keluarga-keluarga Muslim.
Apapun semoga panduan ini bermanfaat kepada ibu bapa yang baru pertama kali menerima kehadiran cahaya mata pertama.
sumber : http://siraplimau.com/
Sumber
0 Komentar untuk "4 Cara Menyambut Kelahiran Bayi Menurut Islam"