Pelancong Bogel Di Kinabalu Dipenjara 3 Hari, Denda RM5,000

 

 

MYNEWSHUB
Berita Online Terhangat Malaysia

Pelancong Bogel Di Kinabalu Dipenjara 3 Hari, Denda RM5,000
6/12/2015 7:30:59 AM

KOTA KINABALU — Mahkamah Sesyen di sini hari ini
menjatuhkan hukuman penjara tiga hari terhadap empat pelancong Barat mulai
tarikh mereka ditangkap dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana
melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu.

Keempat-empat mereka, yang ditangkap pada 9 Jun, membayar denda itu melalui
peguam masing-masing pada kira-kira pukul 7 malam ini dan akan dihantar pulang
ke negara asal.

Hakim Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman itu terhadap rakyat Britain
Eleanor Grace Hawkins, 23; rakyat Belanda Dylan Thomas Snel, 23 ; dan dua
beradik wargaKanada Lindsey Peterson, 23 dan Daniella Anne Louisa Peterson.

Keempat-empat mereka kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan dan mengaku
bersalah terhadap tuduhan berbogel di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada
kira-kira 6.45 pagi, 30 Mei.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaaan, yang
memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda atau
kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Daly berkata mahkamah menerima akuan bersalah mereka
sebagai faktor meringankan hukuman, walaupun perbuatan mereka itu mengejutkan
negara dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Masyarakat, terutama di Ranau, tidak senang dengan perbuatan mereka itu
kerana mereka menganggap Gunung Kinabalu sebuah tempat suci," katanya.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Ronny Cham, manakala Timbalan Pendakwa Raya
Jamil Aripin mengetuai pasukan pendakawaan tiga anggota.

Menurut fakta kes, empat tertuduh itu adalah antara 10 pendaki warga asing
yang mencabar satu sama lain untuk berbogel bagi membuktikan siapa dalam
kalangan mereka yang dapat bertahan daripada cuaca sejuk di puncak gunung itu.

Malim gunung yang mengiringi mereka, Azlan Ramli menasihati mereka agar
tidak berbuat demikian, tetapi tidak dipedulikan.

Wanita terbabit hanya menanggalkan baju masing-masing, manakala pelancong
lelaki pula berbogel habis.

Ketika merayu agar hukuman diringankan, Cham berkata keempat-empat tertuduh
menyesali perbuatan mereka dan sebagai tanda kekesalan itu, mereka bersedia
memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Sabah dan Malaysia.

"Satu lagi tanda bahawa mereka menyesali perbuatan itu ialah mereka mengaku
tidak akan mengulanginya lagi," kata beliau.

Cham juga meminta mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh
telah membayar harga yang tinggi atas perbuatan jahil mereka serta publisiti
yang diberi terhadap perbuatan mereka itu di peringkat tempatan dan
antarabangsa.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak terdapat bukti saintifik dan berwibawa
yang mengaitkan gempa bumi yang melanda Ranau pada 5 Jun dengan kesalahan yang
dilakukan anak guamnya.

Jamil pula meminta mahkamah mengenakan hukuman yang boleh memberi
pengajaran, terutama dengan mengambil kira kepentingan awam.

"Banyak orang marah dengan perbuatan yang menimbulkan perasaan jengkel dalam
kalangan rakyat itu.

"Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat ke negara ini, tetapi
kami mengharapkan mereka menghormati rakyat dan budaya di tempat mereka
kunjungi," katanya.

Keempat-empat tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah pada kira-kira 2.44
petang dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan dikawal ketat oleh anggota
polis.

Petugas media tempatan dan asing berebut-rebut untuk merakam gambar mereka.

Hawkins mamakai kemeja T berwarna merah manggis dan berseluar jean, Snel
berkemeja putih dan jean, Lindsey berbaju biru muda dan jean, manakala Daniella
berbaju T gelap dan jean.– BERNAMA

Komen

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Pelancong Bogel Di Kinabalu Dipenjara 3 Hari, Denda RM5,000"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info