Pembelian Tanah Di Perth Oleh Sultan Johor Cetus Kontroversi Di Australia - Akhbar The West Australian



Tindakan Sultan Johor handak membeli sebidang tanah di pinggir sungai di Perth bernilai A$8.5 juta (RM24.21 juta) nampaknya telah mencetuskan kontroversi di negeri Australia Barat itu.

Memetik laporan The West Australian , akhbar tersebut melaporkan Sultan Johor adalah salah satu pihak yang terlibat dalam rancangan memulihkan Hospital Sunset yang merupakan bangunan yang bersejarah di sana selepas membayar A$8.5 juta untuk tanah seluas 1,993 meter persegi.

Bagaimanapun pembelian tersebut hanya melibatkan 2% daripada keseluruhan tapak hospital itu dimana hasil jualan tersebut akan disumbangkan bagi pembagunan semula bangunan hospital yang mempunyai warisan sejarah.

Perkara ini disahkan oleh Ketua menteri Australia Barat, Colin Barnett, dimana beliau mengalu-alukan jualan tanah itu bagi membantu membaik pulih kawasan warisan itu.

Tetapi jualan tersebut telah ditentang oleh majlis perbandaran Nedlands dan menegaskan mereka tidak akan membenarkan sebarang penjualan tanah tersebut kerana kawasan itu adalah satu-satunya tanah bernilai tinggi yang tinggal di pinggir bandar.

Maklum balas dari orang awam pula bermacam-macam, ada yang mengatakan penjualan tanah itu akan mendekatkan Perth kepada Asia Tenggara dan ada yang marah kerana tanah tersebut dijual kepada orang asing.


Menurut akhbar berkenaan, Sultan Johor atau wakilnya belum memberikan sebarang komen tentang pembelian tanah tersebut tetapi spekulasi tentang pembelian sebuah rumah agam menghadap Sungai Swan telah beredar di kalangan warga tempatan.

Mengenai Sultan Johor, Barnett memberitahu akhbar tempatan Community Newspapers: "Ia adalah pembeli yang menarik, bukan? Ia menambahkan sedikit perasa kepada cerita itu.

"Saya rasa beliau akan membina kediaman di sana tetapi siapa tahu? Beliau merupakan salah seorang daripada pembida dan beliau membida dengan harga yang tepat. Tiada sebarang syarat khas, tidak ada tawaran istimewa."

Datuk Bandar Nedlands, Max Hipkins pula berkata hasil jualan sebanyak A$8.5 juta tidak mencukupi untuk membangunkan tapak warisan itu.

"Ada beberapa tanah di sana yang mungkin boleh dijadikan tempat penginapan jangka pendek dan menyediakan aliran pendapatan untuk Sunset," katanya kepada The West Australian.

Seorang lelaki yang merupakan penduduk berdekatan kawasan tersebut telah menghantar komen di dalam laman web Community Newspapers berbunyi: "Warga asing tidak boleh dibenarkan membeli hartanah di Australia. Mereka boleh sewa beli sehingga 25 tahun. Kita perlu pastikan Australia dimiliki oleh warga Australia bukan warga asing..."

Manakala seorang lagi penduduk tempatan, Charlotte berkata: "Warga asing tidak dibenarkan membelinya. $ yang berkuasa akan memundurkan negara ini."

Bagaimanapun di laman web Perth Now, Johannes berkata: "Bagus, ia memperkukuhkan hubungan kita dengan Asia Tenggara."

Kawasan yang dibeli Sultan Johor itu merupakan sebahagian penempatan bagi golongan miskin yang dibina pada tahun 1904 untuk menempatkan 750 orang.

Tetapi selepas 39 tahun, kawasan itu telah ditukarkan menjadi rumah jagaan Hospital Sunset sebelum ia ditutup pada tahun 1995. Sejak penutupan itu tapak berkenaan telah terbengkalai walaupun banyak rancangan pembangunan dicadangkan. — Siakapkeli.my

0 Komentar untuk "Pembelian Tanah Di Perth Oleh Sultan Johor Cetus Kontroversi Di Australia - Akhbar The West Australian"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info