Ku Li Tolak Dikaitkan Sebagai Calon PM


KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah enggan dikaitkan dengan mana-mana pihak yang mula memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, sebagai ‘orang luar’ beliau tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran negara.

"Ada hierarki (sistem lantikan), saya orang luar. Beliau boleh cadang itu pandangan dia.

"Mereka ada hierarki, mesti mereka buat pertimbangan begitu," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen pada Rabu.

Razaleigh mengulas mengenai kenyataan bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim yang menyuarakan sokongan bahawa beliau adalah calon terbaik mengambil alih jawatan perdana menteri.

Menerusi tulisan terbaharu di blognya, Zaid juga menyeru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang satu ketika dulu merupakan 'musuh' Ku Li, menyokong bekas menteri kewangan itu untuk jawatan perdana menteri dan mengatakan kedua-duanya perlu berdamai untuk tujuan lebih besar.

Mengulas lanjut, Razaleigh yang mesra di panggil Ku Li berkata, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir.

"Saya boleh bekerjasama dengan sesiapapun. Saya tidak berkelahi dengan Tun Mahathir.

"Tapi untuk calon perdana menteri, itu soal lain. Saya berkawan dengan Tun Mahathir sudah berpuluh tahun. Saya bukan berada di Parlimen hari ini sahaja.

"Bekerjasama dengan Tun Mahathir dan siapa-siapa pun tidak ada masalah. Tapi untuk soal perdana menteri, itu soal lain dan tidak boleh campur," katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir secara terbuka mengkritik pentadbiran Najib dan meramalkan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang sekiranya parti itu dan Umno masih diterajui Najib.

Malah Dr Mahathir juga membangkitkan beberapa isu kontroversi yang menyelubungi pentadbiran Najib termasuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. — mStar online

0 Komentar untuk "Ku Li Tolak Dikaitkan Sebagai Calon PM"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info