Pesawat Germanwings terhempas di selatan Perancis, nasib 148 nyawa belum diketahui


KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Airbus dilaporkan terhempas di selatan Perancis, lapor Reuters hari ini.

Laporan yang memetik sumber polis Perancis dan jurucakap penerbangan itu menyatakan bahawa pesawat tersebut dikendalikan Germanwings yang dimiliki syarikat penerbangan Lufthansa.

Pesawat yang membawa 142 penumpang dan enam anak kapal itu sedang dalam laluan penerbangan antara Barcelona ke Dusseldorf di Jerman.

Pesawat berkenaan telah membuat panggilan kecemasan pada jam 10.47 pagi waktu tempatan. Lokasi terakhir pesawat itu dikesan adalah di kawasan Pergunungan Alps.

Presiden Perancis, François Hollande, dalam kenyataan terbaharu memberitahu bahawa kemungkinan untuk menemui mangsa yang terselamat adalah tipis.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls, berkata meskipun maklumat mengenai insiden itu masih samar namun dia bimbang tentang nasib mereka yang berada dalam pesawat berkenaan.

Menurut laporan berita tempatan Le Monde, Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve kini bergegas ke wilayah berkenaan.

Airbus dan Germanwings bagaimanapun menyatakan bahawa pihak mereka memerlukan masa untuk mengumpulkan maklumat seterusnya mengesahkan kejadian tersebut dan bakal mengeluarkan kenyataan rasmi secepat mungkin. - Astro Awani

0 Komentar untuk "Pesawat Germanwings terhempas di selatan Perancis, nasib 148 nyawa belum diketahui"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info