Penyanyi era 80-an, Elias Shah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Seri Manjong, Perak kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.


Allahyarham yang terkenal dengan lagu Cenderawasih dan Kenangan Mengusik Jiwa ini dilaporkan meninggal dunia akibat menghidap penyakit kencing manis selepas tidak sedarkan diri sejak mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, awal pagi semalam.


09elias1_cropped.transformed

DJ Dave melawat Allahyarham Elias di Hospital Kuala Lumpur (HKL), bulan lalu.


Allahyarham Elias Shah, 55 tahun meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.


Menurut balu Allahyarham, Sharifah Hamidah Syed Hamid, arwah sebelum ini pernah dimasukkan ke dua hospital sejak dua bulan lalu akibat penyakit terbabit.


“Selepas mengadu demam awal pagi semalam, saya membawanya ke Hospital Tentera Laut dan doktor mengesahkan beliau mengalami kekurangan darah serta batuk yang teruk, sehingga sukar bernafas. Jadi, beliau dipindahkan pula ke Hospital Seri Manjong dan ketika dalam perjalanan ke hospital, jantung beliau terhenti.


“Ketika mendapat rawatan di Hospital Seri Manjong, keadaan beliau masih stabil. Cuma, arwah tidak sedarkan diri sehinggalah doktor mengesahkan beliau meninggal dunia jam 12 tengah malam tadi,” katanya.


Penyanyi yang cukup sinonim memiliki suara mirip Datuk Ahmad Jais ini pernah menghasilkan album berjudul Kehancuran (1984), Siaplah Aku (1988), Kembalilah Sayang (1989), Dangdut (1994), Irama Dangdut 60an (1992) dan Zapin Berdayung (2003).


Jenazah Allahyarham telah dibawa ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Panas, Setapak, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa kira-kira 10 pagi tadi.


Semoga roh Allahyarham Elias Shah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah.. – MYNEWSHUB.CC