MH370: Operasi Mencari Perlu Dihentikan


Operasi Mencari MH370 Perlu Dihentikan



#MH370: Kos Terlalu Mahal, Operasi Mencari MH370 Perlu Dihentikan | CANBERRA – Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss menegaskan, pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapalnya tidak boleh diteruskan untuk selama-lamanya.



Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi antara Australia bersama Malaysia dan China bagi memutuskan kemungkinan misi pencarian dihentikan.



“Satu keputusan perlu dibuat sebelum tarikh akhir misi pencarian pada Mei ini sama ada untuk meneruskan pencarian di kawasan 1.1 juta kilometer (km) persegi di sekeliling kawasan pencarian utama atau tidak.



“Waris-waris mangsa pasti sedih selagi pesawat dan mayat mangsa masih tidak ditemui, tetapi kita tidak boleh terus mencari selamanya. Cuma, apa yang boleh kita lakukan adalah melakukan sebaik mungkin dalam proses pencarian ini,” kata Truss yang juga Menteri Pengangkutan di Australia.



Beliau turut membandingkan misi pencarian MH370 yang merupakan paling mahal dalam sejarah dengan pencarian besar-besaran pesawat juruterbang wanita pertama, Amelia Earhart yang hilang pada 1937 ketika cuba mengelilingi dunia secara bersendirian.



Malaysia dan Australia akan berkongsi kos pencarian sekitar AU$52 juta (RM146 juta) tetapi Truss menegaskan mustahil untuk meneruskan pencarian tanpa bantuan antarabangsa. Faktor kewangan mungkin menjadi penentu sama ada tapak pencarian akan diluaskan selepas ini.



Sehingga kini, masih tiada petunjuk ditemui melibatkan pesawat MH370 yang hilang dari radar hampir setahun lalu pada awal pagi 8 Mac dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sekali gus dianggap kejadian paling misteri dalam sejarah industri penerbangan dunia.



Pasukan penyiasat percaya, pesawat itu terus terbang beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya sebelum terhempas ke Lautan Hindi selepas kehabisan minyak. Misi pencarian melibatkan kawasan dasar laut seluas 60,000km persegi, kira-kira 1,600km dari bandar Perth. – Reuters
0 Komentar untuk "MH370: Operasi Mencari Perlu Dihentikan"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info