ALOR SETAR – Dua lelaki bersenjatakan kapak dan batang besi menyamun sebuah kedai serbaneka di Jitra awal pagi tadi dan melarikan wang tunai berjumlah RM70.


Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku kira-kira 6.06 pagi ketika seorang jurujual wanita sedang bertugas di premis tersebut.


Beliau berkata dua suspek bertopi keledar masuk ke kedai tersebut dan meminta mangsa menyerahkan wang sebelum meninggalkan tempat kejadian.


“Kira-kira RM70 telah disamun oleh dua suspek tersebut dan pekerja tersebut terselamat daripada sebarang kecederaan,” katanya.


Zamri mengingatkan pemilik kedai serbaneka 24 jam supaya menggunakan pintu elektronik. – BERNAMA