Gambar: @MyPatSeputeh


KUALA LUMPUR : Seramai 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara hari ini sebulat suara menyatakan sokongan padu terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Pernyataan itu dibuat melalui satu pertemuan tertutup.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri telah difitnah dan dituduh dengan pelbagai isu berkaitan 1MDB dan tiba masanya nama beliau dibersihkan.


“Kami rasa menjadi tanggungjawab kami untuk memanggil mesyuarat dan memperlihatkan sokongan kami,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini petang tadi.


Kata beliau, kesungguhan Najib dalam memperlihatkan kesemua tuduhan yang dilemparkan kepada beliau adalah fitnah merupakan sesuatu yang seharusnya dipuji.


“Beliau sudah memberikan jaminan bahawa kita tidak akan mempertahankan sesiapa yang melakukan penyelewengan dengan dana berkenaan.


“Akaun (1MDB) telah pun diaudit oleh (firma) Deloitte dan disahkan bersih, malah ia juga melalui proses audit forensik,” katanya.


Ujarnya, urusan perniagaan yang dilakukan oleh 1MDB adalah sah dan tidak perlu dipersoalkan.


mynewshub.cc


Ismail yang juga Ketua UMNO Bera ketika ditanya mengenai ketidak hadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan itu memberitahu, ia adalah kerana Muhyiddin mempunyai rancangan yang tidak boleh dielakan.


“Beliau telah menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk menyertai pertemuan tersebut tetapi mempunyai rancangan lain lebih awal,” katanya.


Turut tidak hadir adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB perlu bertanggungjawab terhadap segala hutang piutang 1MDB yang telah mencecah RM42 Bilion.


Kata beliau, ini bukan masalah kerajaan, kabinet atau Perdana Menteri tetapi melibatkan masalah pengurusan pihak yang terbabit menguruskan dana awam tersebut.


Katanya, mana-mana pihak yang didapati menyebabkan kerugian kepada 1MDB tindakan perlu diambil terhadap mereka.


“Saya menasihatkan mana-mana pihak agar jangan mengaitkan IMDB dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada kena mengena dengan sebarang urusniaga sama ada memberikan keuntungan dan kerugian kepada dana tersebut.


“Sebaliknya pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kena tampil memberikan jawapan dan penjelasan bagaimana urusniaga dijalankan sehingga menanggung kerugian sebanyak itu. Mereka kena tampil memberitahu bagaimana dana awam tersebut diuruskan.


“Tindakan mengaitkan Perdana Menteri dalam isu kerugian 1MDB jelas bermotif fitnah dan seolah-olah mahu memberikan gambaran kepada rakyat betapa lemahnya kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib. Padahal pihak pengurusan 1MDB yang perlu dipertanggungjawabkan dalam urusniaga syarikat terbabit,” katanya.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan, sebarang usaha menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.


Kata Muhyiddin, Lembaga Pengarah 1MDB perlu memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.


Menurut Syed Ali, pihaknya menyokong saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan untuk menutup mulut sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencari ‘kambing hitam’ atau meletakkan kerugian 1MDB kepada Perdana Menteri.


“Bagi saya pihak pengurusan 1MDB jangan berlepas tangan dalam perkara ini. Mereka kena bertanggungjawab selepas pelbagai pihak termasuk pembangkang mengaitkannya dengan Perdana Menteri. Tentulah tidak wajar kita meletakkan semua kesalahan kepada Perdana Menteri sedangkan pihak 1MDB tidak dirujuk,” kata Syed Ali.


Pada Rabu lalu, kabinet sudah diberikan taklimat oleh 1MDB dan Deloitte berkenaan beberapa dakwaan yang dibuat terhadap dana syarikat tersebut.


Sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sudah mengarahkan Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB dan menyerahkan laporannya kepada PAC untuk diteliti.


“Saya percaya pengauditan yang telus, bebas dan secara menyeluruh sangat penting untuk membersihkan nama baik dana pelaburan strategik milik kerajaan daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku,” katanya.


Syed Ali turut melahirkan rasa kesal tindakan sesetengah pihak tidak sudah-sudah meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri padahal perkara itu sepatutnya dirujuk kepada pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB.


“Mana adil pihak berkenaan mahu menyalahkan Datuk Seri Najib? Sedangkan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB senang-senang menerima gaji dan elaun bulanan. Mereka kena mengambil responsibility atas semua dakwaan yang dibuat terhadap 1MDB. Jangan hanya mahu melepaskan tengkuk masing-masing,” katanya.


Syed Ali turut menyelar mana-mana pihak yang sentiasa mahu meletakkan kesalahan kepada bahu Perdana Menteri dalam semua perkara termasuk dalam urusan syarikat 1MDB.


“Apa gunanya ada pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kalau semua kelemahan berkaitan kerugian atau penyelewengan sekalipun kena ditanggung oleh Perdana Menteri,” katanya.-MYNEWSHUB.CC