NAMA figura ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat pasti mengenalinya.
Sebut sahaja penyanyi nombor satu negara, pasti ramai terbayangkan Datuk Siti Nurhaliza yang sememangnya berada dalam liganya yang tersendiri menerusi industri seni suara tempatan.
Walaupun nama beliau kini agak perlahan diperkatakan, namun sebenarnya diva bersuara emas ini masih lagi aktif dalam kerjaya seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.
Bakal mengegarkan pentas bagi menjayakan sambutan Hari Ibu yang disambut pada Mei ini, Siti akan tampil dengan satu showcase Mother’s Day Miracle Night with Siti Nurhaliza yang dianjurkan oleh OMGFest Ventures.
Showcase bersempena meraikan golongan ibu itu akan diadakan pada 15 Mei hadapan pada jam 8 malam bertempat di Dewan Kristal TM Convection Centre, Menara Telekom, Kuala Lumpur.
Yang menariknya pada persembahan kali ini, Siti menyatakan dia bakal membuat kelainan dengan menyanyi sambil memasak buat seorang peminat bertuahnya.
Menurutnya, peminat bertuah itu akan dipilih sendiri oleh dirinya berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan.
“Alhamdulillah ini persembahan yang saya nantikan setelah tiga tahun tak muncul dengan persembahan Hari Ibu.
“Harinya sangat istimewa, saya nak meraikan ibu yang hadir, ada ibu yang akan dipilih dan bertuah yang akan saya masakkan, saya hidangkan makanan, makan bersama saya dan akan menerima hadiah istimewa daripada saya sendiri.
“Sebab saya penyanyi, kira oklah tak susah mana. Kalau suruh saya memasak sambil menjahit tu yang susah tu, ” selorohnya tatkala ditanya tidakkah mutu nyanyiannya akan terganggu sekiranya persembahannya diselang-seli dengan gimik masakan.
Seperti yang diketahui pengikut Instagramnya, Siti merupakan seorang yang rajin memasak sekiranya mempunyai kelapangan waktu.
Ditanya tidakkah Siti ingin menceburkan diri dalam perniagaan restoran memandangkan hobinya yang suka memasak, Siti menjelaskan, “tak layak lagi lah. Saya masak itu benda yang paling simple dan just untuk seronok-seronok makan, apa yang anak-anak Datuk K suka makan, yang senang, yang mudah, bolehlah saya kongsikan”.
“Restoran ini orang suka menu yang pelbagai, ada yang suka tradisional, ada yang suka western, jadi saya tak layak lagi lah,” katanya lagi sambil menambah terdapat seorang artis lelaki yang diundang oleh beliau untuk bersama-sama memeriahkan showcase itu nanti.
Tiket-tiket untuk persembahan istimewa Hari Ibu ini yang berharga RM399, RM599, RM799 dan RM999 sudah mula dijual menerusi www.redtix.airasia.com atau boleh menghubungi talian 03-89573348.
Pemegang tiket eksklusif yang berharga RM999 berpeluang untuk bertemu Siti dalam sesi bertemu peminat yang diadakan khas untuk mereka sebelum majlis itu berlangsung kelak. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: RIZA RAZAK
0 Komentar untuk "Siti Nurhaliza Menyanyi Sambil Memasak Dalam Showcase Hari Ibu"