LANGKAWI – Sebanyak 580 pegawai dan anggota pelbagai jabatan dan agensi kerajaan menyertai Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) di sini sebagai persediaan menghadapi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 yang berlangsung 17 hingga 21 Mac ini.


Pengurus Malaysia Airports Berhad (MAB) Langkawi, Jefri Ramli berkata jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.


“Latihan dua hari itu yang melibatkan laut dan darat, bertujuan bagi memastikan jabatan dan agensi yang terlibat menjalankan tugas mengikut prosedur yang betul,” katanya semasa ditemui pada sesi akhir SAREX di sini hari ini.


Menurutnya latihan itu diadakan mengikut prosedur sebenar di bawah Prosedur Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) bagi memastikan mereka yang terlibat dapat melaksanakan tugas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.


“Latihan ini dapat membantu memberi gambaran awal kepada petugas apabila berlaku kemalangan atau perkara tidak diingini semasa berlangsungnya LIMA’15 apabila agensi terlibat dapat menghadapi keadaan itu dengan lebih baik dan cekap,” katanya.


Jefri berkata SAREX tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan semenjak penganjuran LIMA pada 1991 dan melibatkan latihan mencari dan menyelamat di kawasan laut dan darat di sekitar pulau ini. – BERNAMA