Dakwa Hudud Kejam Dan Tidak Berperikemanusiaan: Eric Paulsen Ditahan Lagi | Peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen ditahan sekali lagi pada petang Ahad dan kali ini disebabkan oleh dua kenyataannya mengenai hudud di Twitter.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) itu sedang disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya mengenai undang-undang hudud.
“Hukuman hudud tidak ada tempat pada zaman ini/masyarakat moden kerana ia melibatkan penyiksaan, hukuman kejam & tidak berperikemanusiaan.
“Sebaliknya yang benar, hudud menjadi perkataan yang menunjukkan ketidakadilan terutamanya terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita,” katanya di Twitter.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Zainuddin Ahmad berkata, kenyataan itu dilihat sebagai penghinaan yang boleh menganggu ketenteraman awam.
Penyelaras perundangan LFL, Michelle Yesudas berkata, Paulsen ketika ini sedang memberikan keterangan di Balai Polis Dang Wangi.
“Kami sekarang di Balai Polis Dang Wangi. Polis kata mereka hendak tahan dia (Eric Paulsen) malam ini dan akan mohon reman esok,” kata Yesudas kepada The Star Online.
Paulsen sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ektremisme.
Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud untuk dilaksanakan di negeri itu lapor Mstar.
0 Komentar untuk "Eric Paulsen Ditahan Akibat Pertikai Hudud"