PETALING JAYA:Chef selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Wan terpaksa menangguhkan hasrat untuk membuka restoran '1 Market by Chef Wan' di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya dekat sini kerana keadaan ekonomi negara kurang baik.
Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 57, berkata, rakan kongsi dan pelabur memutuskan penangguhan tersebut selepas membuat kajian selama lima bulan di pusat beli belah tersebut yang mendapati perniagaan di situ kurang memberangsangkan.
"Rakan kongsi dan pelabur Lippo Group di bawah anak syarikat mereka The Food Junction membuat keputusan untuk menangguhkan pembukaan restoran tersebut ke suatu masa selepas ekonomi negara lebih baik.
"Kajian selama lima bulan yang dibuat mendapati sambutan di IOI City Mall itu kurang baik dan tidak menggalakkan untuk operasi restoran tersebut," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.
Papan tanda restoran 1 Market milik Chef Wan di IOI Mall City sudah diturunkan.
Chef Wan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang papan tanda nama kedai miliknya di IOI City Mall, Putrajaya, yang sepatutnya sudah beroperasi telah ditanggalkan.
Tambahnya, pelabur enggan mengambil risiko tinggi dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil.
"Dengan keadaan ekonomi negara kita tak stabil tentulah pelabur luar takut untuk melabur RM11 juta untuk set up food hall ini dan tidak mahu mengambil risiko.
"Jadi mereka terpaksa lepaskan ruang perniagaan itu serta tiga bulan deposit yang sudah dibayar kepada pusat beli-belah tersebut. Memang rasa sayang tapi biarlah kita rugi sedikit daripada rugi banyak selepas membukannya nanti," ujarnya.
Bagaimanapun, Chef Wan berkata, mereka dalam perancangan untuk membuka francais yang baharu di bawah namanya di seluruh Malaysia, Singapura dan Jakarta tidak lama lagi.
Restoran 1 Market pertama milik Chef Wan telah dibuka pada tahun 2012 di Plaza Singapura, Singapura dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negara itu. - mStar Online
0 Komentar untuk "Bimbang Tanggung Risiko, Chef Wan Tangguh Buka Restoran"