Bentang enakmen hudud, PAS 'tikam dari belakang' - DAP



KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CEC) Isnin ini bagi membincangkan hala tuju bersama Pakatan Rakyat ekoran tindakan PAS Kelantan yang tetap membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 hari ini.

Setiausaha Organisasinya, Loke Siew Fook berkata, tindakan PAS Kelantan umpama 'menikam dari belakang' dan mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac.

Selain itu, DAP juga menganggap keputusan yang dibuat PAS Kelantan itu sebagai provokasi untuk memecahkanbelahkan Pakatan Rakyat.

"DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pelaksanaan hudud, tambahnya, tidak menjadi agenda bersama dalam Pakatan sejak DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR.

"Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada "musuh dalam selimut" yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO," katanya lagi.

Kerajaan Kelantan menerusi Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Enakmen itu menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir. - Astro Awani

0 Komentar untuk "Bentang enakmen hudud, PAS 'tikam dari belakang' - DAP"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info