SANAA/EDEN: Sekurang-kurangnya 137 jemaah maut dan beratus-ratus lagi cedera apabila sekumpulan pengebom berani mati melakukan serangan semasa solat Jumaat di dua masjid di Sanaa, ibu negara Yaman.
Serangan itu didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Seramai empat pengembom memakai tali pinggang diisi bahan letupan, mengadakan serangan di dalam dan sekitar masjid yang penuh dengan jemaah.
Agensi berita tempatan, Saba, melaporkan bilangan kematian adalah 137 orang dan 357 lagi cedera.
Keadaan hospital penuh sesak dan pegawai perubatan mengharapkan banyak penderma darah tampil bagi membantu sejumlah besar mangsa yang cedera.
Keadaan salah sebuah masjid yang diserang oleh pengebom berani mati. Foto EPA
Seorang wartawan Reuters di masjid Badr membuat pengiraan sekurang-kurangnya 25 mayat terbaring di jalan dan di dalam bangunan. Seorang mayat lelaki dilihat masih mendukung anaknya.
Masjid Badr merupakan salah satu daripada dua masjid yang diserang dua pengebom berani mati.
Dua lagi pengebom berani mati membuat serangan terhadap masjid kedua.
Seorang sumber pasukan keselamatan memberitahu Reuters bahawa seorang pengebom berani yang kelima sepatutnya menyerang sebuah masjid di wilayah Saada bagaimanapun maut ketika cuba melakukan serangan apabila bahan letupannya itu meletup lebih awal.
"Saya mahu pergi solat di masjid (Badr) dan saya mendengar letupan pertama, kemudian selepas itu mendengar satu lagi letupan," kata seorang saksi kepada Reuters.
White House di Washington mengutuk insiden pengeboman itu dan berkata ia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada pengebom berani mati itu mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS. - REUTERS
0 Komentar untuk "137 Maut, Serangan Bom Berani Mati Di Masjid"