MANILA – Lebih 10,000 keluarga miskin kehilangan tempat tinggal dalam satu kebakaran besar selama sembilan jam di kawasan setinggan di Parola, pinggir ibu kota Filipina, Manila lewat Isnin, lapor akhbar tempatan pada Selasa.


Jurucakap Biro Bomba Filipina berkata, dianggarkan kira-kira 5,000 buah rumah, kebanyakannya diperbuat daripada papan; hangus dijilat api dan ramai penduduk tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda mereka.


Namun, sebahagian penduduk mendakwa, kebakaran besar tersebut sebenarnya boleh dikawal daripada peringkat awal tetapi kelemahan pasukan bomba tempatan lambat datang memadamkan api menyebabkan kemusnahan lebih besar.


Ironinya, kes kebakaran ini berlaku dalam bulan Mac yang ditetapkan pihak berkuasa sebagai bulan pencegahan kebakaran di seluruh Filipina, bahkan biro bomba meramalkan lebih banyak kebakaran akan terjadi disebabkan suhu cuaca panas.



Jabatan Kebajikan Masyarakat Manila dilaporkan turut membantu mangsa kebakaran yang kini ditempatkan buat sementara di sebuah gimnasium termasuk kemudahan selimut, tikar dan bekalan makanan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan.


Secara purata, 80 buah rumah musnah terbakar setiap hari di Manila akibat pelbagai faktor termasuk litar pintas pendawaian elektrik dan kediaman penduduk setinggan yang diperbuat dengan menggunakan bahan binaan ringan mudah terbakar.


Bagaimanapun, ada pihak menyalahkan pasukan bomba yang ditubuhkan sejak 1901 sebagai kurang cekap menangani kebakaran ekoran penat bertungkus lumus memadam puluhan api dalam sehari tanpa mendapat cukup rehat. – Agensi